Dalam meniti arus
kemodenan ini, isu penjagaan kesihatan ketika musim panas sering dipaparkan di
dada-dada akhbar mahupun di media sosial. Hal ini kerana persekitaran suhu atau cuaca yang
terlalu panas boleh mengganggu ketidakseimbangan tubuh dan menyebabkan beberapa
penyakit. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang harus dilakukan untuk
menjaga kesihatan sepanjang musim panas ini?
Pada pendapat saya, antara langkah berjaga-jaga yang boleh
dilakukan oleh orang ramai adalah sentiasa minum air kosong secukupnya. Contohnya,
minum 8 gelas sehari dapat memastikan tubuh kekal terhidrat dalam tempoh yang
sukar ini. Jika perlu berada di luar rumah pula, alternatif yang disarankan ialah
sentiasa memakai topi atau payung untuk melindungi diri daripada panas terik.
Jelaslah bahawa dengan minum air kosong secukupnya dan melindungi diri daripada
panas terik dapat memastikan kita kekal sihat walaupun pada musim panas.
Di samping itu, musim panas juga boleh menyebabkan pelbagai
penyakit. Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan
rawatan dengan segera jika mengalami simptom seperti batuk, selesema, asma,
sakit mata atau jangkitan paru-paru yang kronik. Rawatan awal sangat penting
supaya penyakit yang lebih serius dapat dielakkan bak aforisme mencegah lebih
baik daripada mengubati.
Kesimpulannya, terdapat banyak langkah yang harus dilakukan
bagi menjaga kesihatan diri pada musim panas. Setiap individu perlulah
mengambil inisiatif untuk menjaga kesihatan kerana sesal dahulu pendapatan,
sesal kemudian tidak berguna. Oleh itu, marilah kita sama-sama memainkan
peranan untuk menjaga kesihatan diri dan orang sekeliling agar kekal sihat dan
bertenaga.
No comments:
Post a Comment