SOALAN 1 (BAHAGIAN B) PERCUBAAN PERLIS 2026
Malaysia merupakan
sebuah negara yang unik dengan kepelbagaian kaum. Kepelbagaian ini mencerminkan
perpaduan yang kukuh dan menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran negara.
Kerajaan giat melaksanakan program sambutan perayaan pelbagai kaum bagi
mengukuhkan perpaduan rakyat.
Huraikan usaha yang terdapat dalam petikan di atas berserta usaha-usaha lain untuk mengukuhkan hasrat tersebut.
CADANGAN JAWAPAN
Malaysia terkenal sebagai sebuah negara yang mempunyai
masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya.
Kepelbagaian ini perlu dipelihara kerana perpaduan merupakan asas kepada
keamanan dan kemakmuran negara. Menurut Tun Dr. Mahathir Mohamad, perpaduan
rakyat ialah kunci utama kepada kestabilan dan pembangunan negara. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang perlu dilaksanakan untuk mengukuhkan perpaduan rakyat ?
Salah satu usaha untuk memupuk perpaduan ialah mengadakan program sambutan
perayaan pelbagai kaum. Program ini membolehkan rakyat mengenali adat resam
dan budaya kaum lain dengan lebih dekat. Sebagai contoh, rumah terbuka sempena
Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali sering dianjurkan oleh
kerajaan serta masyarakat setempat. Kesannya, rakyat dapat bergaul mesra tanpa
mengira bangsa dan agama. Bak kata pepatah, “tak kenal maka tak cinta”,
hubungan yang erat dapat terjalin apabila rakyat saling memahami budaya
masing-masing. Tegasnya, sambutan perayaan pelbagai kaum mampu mengukuhkan
perpaduan rakyat.
Selain itu, aktiviti gotong-royong di kawasan kejiranan juga dapat
memperkukuh perpaduan. Aktiviti ini melibatkan kerjasama penduduk dalam
membersihkan kawasan perumahan dan kemudahan awam. Sebagai contoh, penduduk
pelbagai kaum berganding bahu membersihkan surau, kuil, taman permainan atau
dewan komuniti. Kesannya, semangat bekerjasama dan saling membantu dapat
dipupuk. Peribahasa “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” menggambarkan
kepentingan amalan ini dalam mewujudkan masyarakat yang bersatu padu. Jelaslah
bahawa gotong-royong merupakan medium yang berkesan untuk mengeratkan hubungan
antara kaum.
Di samping itu, institusi pendidikan memainkan peranan penting dalam memupuk
perpaduan. Pihak sekolah boleh mengadakan pelbagai program seperti
pertandingan sukan, aktiviti kokurikulum dan sambutan Bulan Kemerdekaan yang
melibatkan semua murid. Sebagai contoh, murid daripada pelbagai kaum
ditempatkan dalam satu pasukan bagi menjalankan aktiviti yang dirancang.
Kesannya, mereka dapat belajar bekerjasama dan menghormati perbezaan budaya.
Sesungguhnya, perpaduan yang dipupuk sejak bangku sekolah akan melahirkan
generasi yang bersatu hati pada masa hadapan. Tegasnya, pendidikan merupakan
wadah penting untuk menyemai semangat perpaduan.
Kesimpulannya, program sambutan perayaan pelbagai kaum, aktiviti gotong-royong
dan peranan institusi pendidikan merupakan antara usaha yang dapat mengukuhkan
perpaduan rakyat. Semua pihak perlu bekerjasama bagai aur dengan tebing bagi
memastikan perpaduan negara terus terpelihara. Kerajaan hendaklah memperbanyak
program yang melibatkan masyarakat berbilang kaum. Saya berharap agar rakyat
Malaysia sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan saling menghormati demi
mengekalkan keamanan, keharmonian dan kemakmuran negara