Tuesday 30 October 2018

PERANAN IBU BAPA MEMUPUK SEMANGAT PATRIOTISME DALAM KALANGAN ANAK-ANAK


Salah satu ciri yang perlu ada dalam diri setiap individu ialah semangat patriotisme. Patriotisme yang juga disebut sebagai semangat patriotik ialah semangat cinta akan negara atau kesanggupan seseorang mempertahankan negara daripada kemusnahan. Rakyat yang patriotik diibaratkan seorang individu yang sanggup mengorbankan dirinya untuk kepentingan negara tanpa banyak alasan. Antara tindakan yang dilihat sebagai cinta akan negara meliputi amalan bekerja dengan rajin, tidak menimbulkan masalah seperti terlibat dalam jenayah, dan membantu rakyat lain yang miskin. Sebelum negara mencapai kemerdekaan, semangat patrioisme begitu terserlah dalam diri masyarakat. Namun kini, semangat tersebut semakin lenyap terutamanya dalam kalangan generasi muda. Masyarakat kini kurang bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang terdapat di negara kita. Oleh itu, sebelum nasi menjadi bubur pelbagai usaha perlu dilakukan oleh pelbagai pihak bagi menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa masyarakat.   Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak?

Langkah yang paling mudah dilakukan oleh ibu bapa untuk menerapkan semangat cinta akan negara ialah sering membawa anak melancong ke tempat bersejarah di negara ini terutama ketika musim cuti sekolah. Hal ini sesuai dengan aforisme sambil menyelam minum air kerana melancong dapat mengeratkan hubungan antara keluarga dan apabila melihat tempat atau bangunan yang bersejarah, anak-anak akan lebih memahami peristiwa yang telah berlaku. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak melawat Kota A’Famosa yang terletak di Melaka. Kota yang dibina pada tahun 1511 ini menyimpan pelbagai maklumat dan pengajaran yang boleh menyuntik semangat  cinta akan negara. Lawatan ke muzium juga memberi faedah.Di Malaysia, terdapat sebuah muzium iaitu Muzium Negara yang mempunyai pelbagai khazanah orang pada zaman dahulu, pakaian istana, keris-keris yang digunakan oleh tokoh terdahulu untuk menentang penjajah luar. Anak-anak bukan sahaja dapat mengenali tokoh-tokoh terdahulu seperti Dato Bahaman dan Mat Kilau malah menerapkan semangat keberanian perwira-perwira negara yang mengamalkan peribahasa biar putih tulang, jangan putih mata dalam mempertahankan negara suatu ketika dulu. Tegasnya, lawatan ke tempat bersejarah boleh menimbulkan rasa bangga dan berterima kasih atas perjuangan tokoh tersebut seterusnya meningkatkan semangat cinta akan negara.

Seterusnya, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk bercerita mengenai peristiwa-peristiwa atau kisah yang berkaitan dengan sejarah kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang bersemangat patriotik. Bak kata pepatah, “pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Sebagai contohnya, sebelum anak-anak masuk tidur, ibu bapa boleh membacakan cerita mengenai pejuang-pejuang bangsa kepada anak-anak seperti kisah perjuangan Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Kapten Hasan dan lain-lain ketika menentang Inggeris. Ibu bapa boleh juga menceritakan sendiri pengalaman nenek moyang terdahulu, betapa  mereka menderita dizalimi dan didera semasa zaman penjajahan di negara kita. Anak-anak yang bijak sudah pastinya dapat membandingkan kehidupan mereka sekarang berbanding dahulu.  Hal ini boleh menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Malah, ibu bapa zaman moden ini boleh menggunakan teknologi untuk menghuraikan semangat patriotik kepada anak mereka. Penggunaan teknologi seperti Internet dan telefon pintar membolehkan ibu bapa menyalurkan lebih banyak informasi tentang sejarah negara dengan satu sentuhan sahaja. Ibu bapa boleh melayari internet untuk mendapatkan maklumat tentang sejarah negara yang kadangkala begitu mengelirukan itu juga. Sesungguhnya, ibu bapa perlu melaksanakan tanggungjawab dengan baik bagi memastikan anak mereka memiliki rasa cinta akan negara

Di samping itu, ibu bapa juga harus membawa anak-anak untuk menyertai sambutan peristiwa-peristiwa penting negara seperti sambutan hari kebangsaan  tanggal 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun. Biasanya, kawasan sambutan ini akan dipenuhi dengan pelbagai acara yang cuba meniupkan semangat cinta akan negara ini dalam hati mereka yang hadir itu. Suasana yang penuh dengan semangat nasionalisme ini pasti menimbulkan rasa bangga dalam hati anak yang menontonnya itu. Sebagai contoh, ibu bapa dan anak-anak boleh sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu-lagu patriotik agar semangat cinta kepada negara terus bersemarak dalam jiwa. Sambutan hari kebangsaan juga biasanya disertai oleh pelbagai kaum yang ada di negara kita. Justeru, ibu bapa dan anak-anak akan mendapat peluang untuk melihat persembahan daripada kaum lain dan berkenal-kenalan antara satu sama lain. Secara tidak langsung, perpaduan antara kaum akan tercapai dan wujudlah masyarakat yang harmoni yang bersemangat patriotik.  Jelaslah bahawa,  jika ibu bapa dapat membawa anak-anak menyambut hari Kebangsaan setiap tahun sejak mereka kecil  lagi sudah pasti semangat patriotik dapat dipupuk dengan mudah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Selain itu, pada masa ini ramai ibu bapa yang membimbing anak-anak mereka dalam menguasai subjek Sejarah.  Bagi segelintir pelajar, subjek Sejarah amat sukar dikuasai kerana banyak fakta yang perlu dihafal dan diingati.  Tambahan pula,   mereka tidak pernah merasai keperitan tokoh-tokoh terdahulu yang bermati-matian memperjuangkan tanah air yang bertuah ini.  Oleh itu, ibu bapa tidak boleh memberi tekanan kepada anak-anak dengan memaksa dan memarahi mereka jika gagal dalam subjek sejarah.  Hal ini kerana, anak-anak umpama kain putih, ibu bapalah yang perlu mencorakkannya dengan menerapkan semangat cinta akan negara.  Bertitik tolak daripada itu, ibu bapa perlu menyokong anak-anak mereka agar mereka tidak berasa tertekan malah semangat bersemangat dalam mempelajari subjek Sejarah.  Selain itu, ibu bapa boleh menghantar anak-anak mereka menghadiri kelas tuisyen untuk menguasai subjek Sejarah demi meningkatkan prestasi anak dalam subjek tersebut. Rentetan itu, penguasaan dalam subjek ini akan membibitkan rasa cinta terhadap subjek Sejarah seterusnya melahirkan kecintaan terhadap negara.

Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, langkah yang seterusnya ialah ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak- anak. Berdasarkan peribahasa, bapa borek, anak rintik, ibu bapa perlu menjadi ikon kepada anak-anak dalam menerapkan semangat cinta akan negara.  Dalam konteks ini, ibu bapa tidak sewajarnya menunjukkan etika yang bertentangan dengan semangat patriotisme itu sendiri.  Perlakuan yang pernah menjadi isu suatu ketika dahulu iaitu seorang warga Malaysia yang mempersendakan lagu Negaraku malah ada yang berani memijak bendera Jalur Gemilang tidak seharusnya dilakukan. Malah ibu bapa perlu menunjukkan semangat  cinta akan negara melalui kibaran Jalur Gemilang dengan bangga untuk diteladani oleh anak-anak.  Secara tidak langsung, perbuatan ini akan menjadi ikutan kerana di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.  Dengan cara ini juga, anak-anak akan sedar betapa pentingnya semangat patriotisme ini.  Tambahan pula, ibu bapa boleh bercerita tentang perjuangan tokoh-tokoh tanah air yang berjuang hingga titisan darah yang terakhir demi mempertahankan negara yang tercinta daripada ancaman penjajah.  Sememangnya, keluarga memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memupuk semangat cinta akan negara dalam diri anak-anak mereka.

Sebagai menggulung segala yang telah diperkataan di atas, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memupuk masyarakat yang mempunyai semangat cinta akan tanah air.  Pepohon pokok tidak akan berliuk lentuk jikalau tiada angin yang meniupnya oleh itu, ibu bapa bertanggungjawab memupuk semangat cinta akan negara dalam diri anak-anak.  Sebenarnya, anak-anak merupakan tonggak utama dalam menjayakan visi kudsi Wawasan 2020 pada masa hadapan.  Kita mengakui hakikat bahawa uslub ini perlu dilakukan dan boleh dimulakan dengan langkah-langkah yang telah disarankan di atas. Dengan berbuat demikian, anak-anak dapat memupuk malah menguatkan semangat cinta akan tanah air dalam diri mereka.  Nescaya, semangat patriotisme yang telah sebati dalam diri anak-anak akan dapat melahirkan generasi muda yang mantap jati diri. Sebagai kesimpulannya, semangat patriotik merupakan asas kekuatan rakyat untuk terus berbakti kepada negara.

Friday 26 October 2018

TEKS PENGACARA PROGRAM / BENGKEL


TARIKH : 29 OKTOBER 2018
ALUAN        
BISMILLAH HIRRAHMANIRRAHIM....
ALHAMDULILLAHHIRABBILALAMIN...
RABBISSRAHLISADRIWAYASSIRLIAMRI WAHLULL UQ DATTAN MILLISANI YAF KHAHUL KAULIH...

Assalamu alaikum w.w. dan Salam sejahtera.

Sayang kumbang mencari makan
Terbang seiring di tepi kali
Selamat datang kami ucapkan
Moga diiring restu Illahi

    Ø YANG BERUSAHA, XXXXXXXXXXXX, PENGETUA SMK XXXXXXXXX
    Ø YANG DIHORMATI XXXXXXXXXXXX, PENOLONG KANAN PENTADBIRAN,
    Ø XXXXXXXXXXXPENOLONG KANAN HAL EHWAL MURID,
   Ø XXXXXXXXXXX, PENOLONG KANAN KOKURIKULUM
   Ø  GURU-GURU KANAN MATA PELAJARAN, KAUNSELOR SEKOLAH  DAN
   Ø  RAKAN-RAKAN GURU yang dikasihi sekalian.
.
Bersyukur kita ke Hadrat Ilahi, justeru dengan Inayah dan Kurnia-Nya dapat kita berkumpul bersama-sama dalam Dewan Seri Jernih yang indah pada pagi yang hening ini. Marilah kita mengikhlaskan kehadiran kita dalam majlis ilmu pada pagi ini demi kecemerlangan pendidikan dan kebaikan pelajar kita. Tahniah kepada tuan puan yang sanggup berkorban untuk berada di sekolah pada hari Sabtu ini. Sesungguhnya menuntut ilmu itu tiada had dan batas sempadannya. Tuntutlah Ilmu hingga ke negeri Cina’. Semoga usaha kita semua diberkati Allah. Insya Allah.

Bagi pihak majlis juga, saya mengalu-alukan kedatangan dua orang penceramah ke Bengkel Pengaplikasian PAK21 SMKxxxxxxxxx pada hari ini iaitu PN XXXXXXX & PN XXXXXX yang merupakan Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah atau SISC+ di JPN Perlis. Terima kasih atas kesediaan puan memenuhi undangan pihak sekolah dan selamat berkenalan.

BACAAN AL-FATIHAH
Hadirin yang dimuliakan,
Bagi memberkati Majlis kita pada hari yang penuh bermakna ini, marilah sama-sama kita mulakan majlis kita dengan bacaan Ummul furqan Al-Fatihah

Amin-amin ya Rabbal Alamin..

TAKLIMAT TS25, PLC dan PAK21
Untuk pengetahuan hadirin sekalian, program kita pada hari ini dibahagikan kepada beberapa slot.
Pertama, sesi taklimat oleh penceramah jemputan dikuti dengan slot Tn Pengetua..kemudian kita akan berhenti rehat lebih kurang jam 10 hingga 10.30
Selepas itu, kita akan teruS berbengkel sehingga jam 1.00 petang.

Tuan pengetua, dan guru-guru SMKXX yang dihormati,

Tanpa melengahkan masa lagi, majlis dengan segala sukacitanya mempersilakan PN XXXXXXX & PN XXXXXXI untuk mengendalikan sesi taklimat TS25, PLC dan PAK21 utk guru-guru SMK xxxxxxxx Dipersilakan.

BICARA PENGETUA
Majlis merakamkan jutaan terima kasih kepada PN XXXXXXX & PN XXXXXXI atas segala penerangan dan pengetahuan baru yang dikongsikan bersama kita sebentar tadi.

Syabas cikgu-cikgu atas kesabaran dan perhatian yang telah diberikan
(Sebagai tanda kenangan, saya bagi pihak majlis mempersilakan Yg Berusaha XXXXXXXXX menyampaikan cenderamata kepada penceramah kita pada hari ini......
Terima kasih Tn Pengetua.)

Seterusnya majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Tn Pengetua untuk menyampaikan ucapan. Dipersilakan

REHAT
Terima kasih Tn Pengetua.
Majlis akan berhenti seketika untuk memberi peluang kpd semua guru berehat dan menjamu selera. Jamuan disediakan di kantin sekolah. Cikgu2 boleh rehat sehingga jam 10.30 pg.  

BENGKEL
SLOT 1
Tn Pengetua dan cikgu-cikgu sekalian,
Harap cikgu-cikgu sudah bersedia…Sesi bengkel kita hari ini ada 3 slot yang dikendalikan oleh 6 org fasilitator. Sebelum bermula..sy nk ingatkan supaya cikgu-cikgu beri perhatian dan berkerjasama sepanjang bengkel sebab kita ada anugerah di akhir program nanti.
Ayuh, kita akan mulakan sesi bengkel pada hari ini. Untuk itu, saya serahkan majlis ini kepada ………………………..

Majlis merakamkan ribuan terma kasih kepada ……………..
SLOT 2
Tn Pengetua dan cikgu-cikgu sekalian,


Majlis merakamkan ribuan terma kasih kepada ……………..

SLOT 3
Hadirin yang dihormati….

Majlis merakamkan ribuan terma kasih kepada ……………..

PENUTUP
Tn Pengetua dan cikgu-cikgu sekalian,
Nampaknya …
Majlis kita telah sampai ke penghujungnya.
Syabas semua atas kesabaran dan perhatian yang diberikan sepanjang slot ini diadakan. Mudah-mudahan  ada sesuatu yang telahpun kita perolehi pada majlis hari ini .
Sebagaimana yang dijanjikan di awal tadi, kita ada 2 anugerah yang akan disampaikan.. Utk itu, majlis mempersilakan Tn Pengetua tampil utk menyempurnakan majlis. 

Terima kasih Tn Pengetua..
Sebelum bersurai, saya mewakili jawatankuasa bengkel merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta bengkel dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan penganjuran bengkel berjalan dengan jayanya pada hari ini.
Mohon maaf dari saya andai ada terkasar bahasa, terlanjur bicara sepanjang mengendalikan majlis sebentar tadi. Sesungguhnya, yang terbaik itu datangnya daripada Allah s.w.t. yang kekurangan itu adalah kelemahan saya.

Sekian,wabillahitaufiqwahidayah..assalamualaikum wbth dan terima kasih.


Wednesday 17 October 2018

LANGKAH – LANGKAH MEMUPUK SEMANGAT KEJIRANAN OLEH PELBAGAI PIHAK

Oleh : Nurul Alia Bt Rahim
     
Dalam mendepani arus globalisasi dan kemajuan, negara kita kian laju memacu mengejar kemajuan demi kemajuan. Kini, kita boleh berbangga dengan kejayaan yang dikecapi serta boleh dianggap setanding dengan negara lain bak kata pepatah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Namun demikian,masyarakat kini juga semakin  sibuk dengan hal masing-masing sehingga melupakan norma kehidupan dan nilai murni yang perlu ditelusuri dalam hidup bermasyarakat. Dengan kata lain, masyarakat kini menjadi materialistik dan individualistik iaitu mementingkan diri sendiri dan tiada lagi semangat kejiranan. Semangat kejiranan kian terpinggir dalam kalangan masyarakat kota terutamanya  dan mereka hidup ibarat enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing malahan ada yang menjadi seperti kera sumbang. Budaya bergotong-royong, ziarah-menziarahi mahupun bertegur sapa sesama jiran juga semakin pudar dalam masyarakat kota. Tidak mustahil juga sekiranya mereka tidak mengenali jiran di sebelah rumah apatah lagi masyarakat setempat. Slogan ‘Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh ‘ dan pepatah bagai aur dengan tebing pula hanya terserlah dalam masyarakat luar bandar atau kampung  yang kini kian kecil dan menjadi kumpulan minoriti yang masih mengamalkan semangat kejiranan . Hal ini menyebabkan institusi kemasyarakatan tidak lagi utuh dan perlu diberikan perhatian serius. Persoalannya, pihak manakah yang harus dipertanggungjawabkan untuk segala fenomena ini? Apakah pula langkah- langkah yang wajar diambil bagi menyerlahkan kembali semangat kejiranan yang semakin sirna dalam masyarakat hari ini? Segala persoalan ini akan saya rungkaikan dalam perenggan-perenggan seterusnya.

             Menyedari hakikat betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan dalam masyarakat, maka pihak pertama yang boleh memainkan peranan adalah pihak media massa. Media massa merupakan wahana yang dominan dalam mempengaruhi minda seseorang dengan cepat dan berkesan. Media massa juga memainkan peranan yang sangat penting  dalam mengorak langkah memupuk kembali semangat kejiranan yang kian pudar dalam kalangan masyarakat. Pihak media massa seperti media cetak, media elektronik dan laman sosial dapat menyebarkan maklumat mengenai semangat kejiranan. Hal ini demikian kerana maklumat dapat disampaikan dengan lebih cepat. Kesannya, masyarakat akan lebih faham dan mendapat pelbagai maklumat yang mendalam mengenai semangat kejiranan. Contohnya, media hiburan seperti televisyen dapat menyampaikan mesej-mesej penting berkaitan semangat kejiranan. Malah stesen televisyen dan radio perlu menyiarkan program yang boleh memupuk semangat kejiranan seperti ceramah agama dan ceramah motivasi yang berkaitan dengan kejiranan. Akhbar dan majalah juga perlu memuatkan gambar dan rencana tentang aktiviti yang dapat memupuk semangat kejiranan.  Media elektronik pula, boleh menyiarkan dakumentari dan rancangan menarik tentang kejiranan. Melalui media massa, pelbagai maklumat dan berita boleh disampaikan dengan lebih efektif dan meluas. Sesungguhnya, berita dan isu semasa yang disiarkan oleh media massa lebih mudah menarik perhatian orang ramai terutamanya generasi muda. Sebagai contoh, usaha majalah 3 menyiarkan ‘ Colour of Malaysia’ wajar di sokong. Justeru, aforisme
hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah ini wajar kita tonjolkan dalam hidup bermasyarakat melalui sokongan dan peranan pihak media massa untuk merealisasikan masyarakat harmonis yang termaktub dalam Wawasan 2020.

              Seterusnya, NGO ataupun badan bukan kerajaan seperti Rela, Rukun Tetangga, Persatuan Belia dan Persatuan Penduduk dan juga memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan  semangat kejiranan dalam kehidupan seharian. NGO berperanan sebagai tunjang utama untuk mengadakan aktiviti kemasyarakatan seperti aktiviti gotong-royong perdana, rumah terbuka dan sukan rakyat. Dengan adanya aktiviti berunsurkan kemasyarakatan ini sudah tentu akan mewujudkan maslahat
serampang dua mata secara tidak langsung akan mengeratkan hubungan silaturrahim, berkenal-kenalan dan badan juga akan sihat dan cergas. Dengan adanya rumah terbuka yang dianjurkan oleh NGO, masyarakat yang berbilang kaum dapat bertanya khabar kerana mereka berkumpul di dalam suatu majlis seperti Perayaan Tahun Baru Cina, Perayaan Deepavali, dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri. Malahan mereka juga dapat mengetahui  adat resam pelbagai etnik atau kaum dan hal ini akan mewujudkan perpaduan kaum yang diinginkan oleh kerajaan untuk mencapai konsep 1Malaysia. Dewasa ini, dengan adanya pertubuhan NGO ini, mereka secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan tempat tinggal atau taman untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini serta memudaratkan penduduk tempatan seperti membunuh, merogol, merompak dan sebagainya. Hal ini dapat kita lihat persis kata peribahasa berat sama dipikul ringan sama dijinjing yang mementingkan sikap bentuk dalam hidup bermasyarakat. Tegasnya, NGO haruslah aktif tanpa mengira masa dan waktu dan tidak mengamalkan sikap melepaskan batok di tangga. Oleh itu, NGO haruslah memainkan peranan dengan lebih proaktif dan dinamik bagi memupuk semangat kejiranan yang jitu.

               Ibu bapa juga memainkan peranan dalam meningkatkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Ibu bapa perlu menunjukkan contoh teladan terhadap anak-anak atau dengan kata lain sebagai suri teladan, terhadap anak – anak seperti figuratif Melayu ada mengatakan bahawa
melentur buluh biarlah dari rebungnya. Amalan bertegur sapa, hormat – menghormati sesama jiran harus dimurnikan oleh ibu bapa supaya anak – anak dapat mencontohi sikap ibu bapa yang baik dan positif. Pepatah melayu juga mengatakan anak merupakan kain putih yang harus dicorakkan oleh ibu bapa dengan amalan serta tingkah laku yang baik. Semangat kejiranan ini harus diberikan prioriti oleh ibu bapa bagi menyemai sikap berjiran dalam diri anak – anak mereka agar semangat kejiranan yang harmoni dan sejahtera dapat diwujudkan. Hal ini akan, menyebabkan nilai kerjasama serta persefahaman antara jiran tetangga akan  lebih akrab. Rentetan perselisihan antara jiran juga dapat dielakkan jika setiap anggota masyarakat mengamalkan nilai- nilai sakinah dalam diri mereka. Persis peribahasa bagaimana acuan, begitulah kuihnya sudah pasti akan terzahir daripada tingkah laku anak-anak yang saban hari melihat perlakuan dan tingkah laku anak – anak yang saban hari melihat perlakuan dan tingkah laku ibu bapa mereka yang baik terhadap jiran. Jelaslah, penitisan didikan akhlak secara berterusan ini sebati dalam jiwa serta sudah pasti akan dibawa oleh anak-anak sehingga merka dewasa.

             Minhaj efektif yang seterusnya ialah nilai-nilai murni perlu diterapkan dalam kalangan pelajar tanpa mengira bangsa atau budaya. Hal ini begitu kerana lazimnya anak-anak yang berumur
setahun jagung mudah menerima perkara-perkara positif atau negatif. Meskipun di sekolah terdapat pelajar yang berlainan latar belakang, etnik dan agama terutamanya di negara kita, namun yang pastinya semua pelajar mengikuti satu sistem pendidikan yang sama. Menerusi cara ini, jalinan kerjasama dan semangat kejiranan boleh dicapai serta dipertingkatkan. Jelasnya, akar semangat kejiranan mampu dibina berasaskan keimanan yang benar kepada Tuhan dan pegangan yang teguh kepada ajaran agama. Pandangan hidup seperti ini akan menjalinkan perasaan hormat-menghormati antara satu dengan yang lain dan dengan cita-cita memupuk semangat kejiranan akan lebih mudah dicapai. Lazimnya, sifat hormat-menghormati ini dapat menyingkirkan perasaan angkuh dan kebobrokan dalam diri pelajar untuk memudahkan komunikasi di sekolah ataupun di rumah. Penerapan nilai – nilai murni yang bukan sahaja dapat membentuk akhlak dan peribadi mulia dalam kalangan pelajar ini malah mampu membentuk jati diri bangsa yang dapat dicapai melalui penyerapan ilmu dalam mata pelajaran seperti Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, Pendidikan Islam atau Moral dan sebagainya. Tegasnya, sekolah adalah wadah utama dalam menzahirkan hasrat negara iaitu memiliki warga berilmu dan berakhlak mulia. Izharnya, sekolah merupakan elemen penting dalam menerapkan nilai – nilai murni serta memupukkan semangat kejiranan dalam diri para pelajar di sekolah.

                  Akhir  sekali, kita sebagai seorang individu yang bertanggungjawab dalam hidup berjiran perlulah mengambil berat terhadap orang yang bergelar jiran yang tinggal disekeliling kita. Misalnya, kita perlulah bijak untuk memilih waktu yang sesuai untuk menziarahi jiran agar tidak mengganggu waktu rehat mereka. Amalan menziarahi jiran juga boleh kita lakukan ketika menjelang musim perayaan tertentu atau pada hujung minggu. Seterusnya, sikap bertegur sapa perlulah kita lakukan apabila terserempak dengan jiran. Hal ini kerana secara tidak langsung dapat mengelakkan berlakunya perselisihan faham antara satu sama lain walaupun berbeza kaum, agama mahupun budaya. Begitu juga usaha untuk memahami dan mengetahui adat resam dan cara hidup jiran yang berlainan bangsa seperti cara mereka berpakaian, agama dan kepercayaan , adat resam dan makanan tradisional perlu dilakukan oleh setiap individu yang hidup berjiran. Contoh, pada musim perayaan Tahun Baru Cina , kita dapat merasai makanan seperti kuih bakul, limau mandarin dan kuih bulan. Pada Hari Raya Aidilfitri pula, kita sering disajikan dengan juadah seperti ketupat , rendang dan dodol manakala pada Perayaan Deepavali, kita dihidangkan dengan makanan seperti tosei, muruku, capati dan manisan lain seperti ladu. Impaknya tanpa kita sedari hal ini membolehkan kita mengenali jira tetangga kita dengan lebih mendalam serta memudahkan kita untuk meminta pertolongan sekiranya kita berada dalam situasi kecemasan. Oleh itu, jelaslah bahawa ,`
bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat’ menunjukkan sekiranya kita mempunyai hubungan baik dengan jiran nescaya kita dapat merasai kehidupan berjiran dengan aman dan sentosa.

              Secara totalnya, semangat kejiranan dapat dipupuk melalui aktiviti – aktiviti yang dianjurkan oleh pihak–pihak tertentu persis kata hikmah,
jiran sepakat membawa berkat. Hal ini merujuk kepada jiran yang saling membantu antara satu sama lain, sering bertanyakan khabar dan bertanggungjawab menjaga rumah ketika ketiadaan jiran di rumahnya. Secara tidak langsung, hal ini dapat mendidik jiran agar lebih berasa bertanggungjawab kerana mereka juga akan meminta bantuan ketika mereka ditimpa kesusahan. Hidup ini ibarat roda yang berputar, kadang – kala kita di atas kadang kala kita di bawah. Oleh itu, jiran perlulah sedar akan tanggungjawab yang dipikul oleh mereka kerana dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain. Badan bukan kerajaan, media massa perlulah menggembleng tenaga dan saling bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk mewujudkan kualiti semangat kejiranan. Tuntasnya, jiran-jiran haruslah menerapkan nilai-nilai murni dalam diri masing-masing untuk menjadikan jiran yang berwibawa dan seterusnya mewujudkan masyarakat yang hidup aman harmonis serta sejahtera.

KARANGAN B : CARA MEMANFAATKAN CUTI SEKOLAH

Cuti sekolah merupakan momen yang paling ditunggu-tunggu oleh semua orang terutamanya para pelajar. Semua golongan masyarakat tidak kira mud...