Sunday 28 September 2014

SAKIT TUMIT KAKI

Sebenarnya plantar fasciitis merujuk kepada sindrom sakit pada tumit kaki yang terjadi akibat radang pada tisu plantar yang membentuk lengkok pada tapak kaki, manakala ‘heel spur’ merujuk kepada tulang berbentuk duri pada tulang tumit (calcaneum) di mana tisu plantar melekat. 
Boleh dikatakan 70 peratus daripada pesakit yang ada masalah plantar fasciitis mempunyai ‘heel spur’ dalam X-ray kaki mereka. 

Bila seseorang mengalami plantar fasciitis, tisu plantar pada tumit kaki mungkin mengalami radang (tendonitis) atau kemerosotan degeneratif (tendinosis) dan aktiviti normal seseorang itu seperti berjalan atau berlari akan menyakitkan tumit.

Simptom plantar fasciitis selalunya teruk pada waktu pagi selepas bangun tidur. Ini kerana pada waktu pagi tisu plantar menjadi ketat dan berpijak ketika berjalan merenggangkan tisu fiber itu. Selepas berjalan beberapa langkah, tisu fiber itu menjadi longgar dan sakit berkurangan. Namun, sakit akan kembali jika pesakit berjalan atau berdiri terlalu lama.

Plantar fasciitis disebabkan radang atau kecederaan tisu plantar pada tapak kaki yang mengekalkan bentuk lengkok pada kaki kita. 

Ketika berpijak sama ada berjalan atau berlari, tisu plantar menyebarkan beban berat badan ke seluruh tapak kaki. Oleh itu bebanan atau stres ditanggung tisu plantar sangat tinggi. 

Plantar fasciitis juga boleh terjadi pada seseorang yang mengalami peningkatan berat badan secara mendadak dan melakukan aktiviti riadah seperti berlari. 

Dalam kes berlari, plantar fasciitis terjadi akibat kecederaan tisu plantar pada tapak kaki kesan beban hentakan berulang-ulang ketika berlari. 

Keadaan lain yang boleh menyebabkan sakit tumit kaki yang hampir serupa ialah tarsal Tunnel Syndrome. Keadaan ini disebabkan satu urat saraf pada tapak kaki yang terhimpit ketika ia melalui terowong tarsal yang sempit. 

Antara penyebab lain seperti kepatahan tekanan, Reister’s Syndrome, ankylosing spondylitis dan nekrosis tisu lemak tumit. 

Rawatan untuk plantar fasciitis ialah berehat untuk jangka masa tertentu dan mengurangkan radang pada tisu fiber. 
  • Rehat — Berehat daripada melakukan aktiviti yang boleh memberi tekanan pada tisu fiber seperti tidak berjoging atau mengelak aktiviti berdiri atau berjalan terlalu lama untuk beberapa hari boleh menghilangkan sakit tumit dan memberi masa untuk radang merosot. 
  • Melakukan terapi ais — Meletakkan ais pada tapak kaki boleh membantu mengurangkan sakit tumit. 
  • Senaman dan regangan — Ia bertujuan melonggarkan tisu di sekeliling tulang tumit. Senaman regangan, jika dilakukan pada waktu pagi dan petang, boleh melonggarkan tisu dan mengurangkan sakit tumit. 
  • Ubat anti radang — Ubat anti radang atau penahan sakit boleh membantu mengawal sakit dan mengurangkan radang pada tisu plantar. 
  • Pelapik kasut — Pelapik kasut ialah kunci kejayaan merawat plantar fasciitis. Dengan meletakkan pelapik sesuai di dalam kasut, ia boleh menyokong lengkok tapak kaki dan mengurangkan tekanan pada tisu plantar. Ia memberi keselesaan kepada pesakit ketika melakukan aktiviti sukan. 
  • Kasut — Pemakaian kasut khusus untuk aktiviti sukan penting untuk mengurangkan kecederaan tisu plantar. Kasut terlalu rata atau tinggi dan pelapik yang tidak dapat memberi sokongan pada lengkok kaki boleh menyebabkan tisu fiber tercedera ketika berdiri atau berjalan. 
  • Sokongan kaki ketika tidur — Pemakaian sokongan kaki ketika tidur dapat mengelak tisu plantar menjadi ketat. Dengan itu tisu fiber sentiasa merenggang dan longgar. Tumit kaki tidak berasa sakit apabila berpijak selesa selepas bangun tidur. 

    Dengan modaliti rawatan di atas saja, kebanyakan pesakit pelantar fasciitis dapat mengurang atau menghilangkan sakit tumit kaki. Gejala ini tidak selalunya hilang dengan cepat. Kebanyakan pesakit mendapati sakit tumit hilang selepas tiga bulan rawatan dan lebih 90 peratus pesakit mendapati sakit tumit hilang dalam satu tahun rawatan. 

    Jika sakit tidak berkurangan selepas rawatan itu, suntikan steroid pada tumit boleh mengurangkan radang pada tisu plantar. Namun, doktor tidak suka memberi suntikan itu kerana komplikasi steroid. Dua komplikasi utama ialah atropi tisu lemak dan koyak tisu plantar, keadaan ini boleh menyebabkan sakit bertambah teruk pada tumit kaki. 

    Rawatan lain yang boleh digunakan ialah dengan extracorporeal shock wave therapy atau ESWT. Dalam rawatan ini tenaga denyutan digunakan untuk menghasilkan troma mikro pada tisu plantar yang mana ini menjana baik pulih tisu itu oleh badan. ESWT boleh dicadangkan kepada pesakit selepas rawatan utama gagal. 

    Rawatan secara pembedahan jarang diperlukan dalam merawat plantar fasciitis. Majoriti pesakit plantar fasciitis akan pulih jika mendapat masa secukupnya untuk rawatan. 

    Hanya sejumlah kecil memerlukan pembedahan dan mereka ialah yang gagal dalam rawatan konservatif untuk tempoh secukup, iaitu lebih kurang setahun. 

    Kebanyakan pembedahan membabitkan pemotongan fascia plantar daripada pelekatannya di tulang tumit dengan tujuan melonggarkan tisu plantar. 

    Untuk mengelak plantar fasciitis berulang, pemakaian kasut sesuai diutamakan. Penggunaan pelapik dalam kasut membantu mengurangkan tekanan pada tumit sakit. Ortotik yang ditempah khas mampu membantu mereka yang mempunyai struktur mekanikal kaki tak normal. 

    Penting untuk seseorang itu terus melakukan senaman regangan pada tapak kaki. Senaman ringkas itu boleh mengekalkan tahap fleksibiliti kaki dan mengelak plantar fasciitis berulang.
  • KARANGAN B : CARA MEMANFAATKAN CUTI SEKOLAH

    Cuti sekolah merupakan momen yang paling ditunggu-tunggu oleh semua orang terutamanya para pelajar. Semua golongan masyarakat tidak kira mud...