Monday 17 October 2011

TPM: Sains, Matematik ke bahasa Melayu langkah tepat

Utusan Malaysia Online - Berita UtamaSEREMBAN 15 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan peralihan pembelajaran subjek Sains dan Matematik daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu sebagai satu langkah tepat.
Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan itu seiring dengan usaha kerajaan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di negara ini.
"Keputusan ini dibuat selepas mengambil pandangan semua pihak dan majoriti rakyat mahukan kedua-dua mata pelajaran berkenaan diajar dalam bahasa Melayu.
"Kita juga mendapati peratusan golongan yang mahukan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah terlalu kecil," katanya menjawab satu soalan pada Majlis Dialog Warga Pendidik di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar (IPGRM) di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abdul Razak Mansor; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud dan Pengarah IPGRM, Musa Abdullah.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan, selepas enam tahun PPSMI dilaksanakan pihak kementerian mendapati ia tidak mencapai sasaran.
Menurutnya, antara masalah yang timbul ialah bilangan pelajar yang menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar amat rendah.
"(Daripada segi guru) Kita belum mempunyai keupayaan dan kebolehan, sebagai contoh ada guru yang mahir dalam bahasa Inggeris tetapi tidak mahir untuk mengajar subjek Matematik dan Sains.
"Begitu juga guru yang mahir dalam subjek Matematik dan Sains tidak pula mempunyai kepakaran mengajar kedua-dua subjek ini dalam bahasa Inggeris," jelas beliau.
Terdahulu berucap pada majlis pelancaran Institut Perguruan Kebitaraan Sukan (IPKS) di padang IPGRM, beliau memaklumkan tiga institut perguruan iaitu Institut Perguruan Kampus Perlis, Institut Perguruan Kampus Tun Abdul Razak dan IPGRM dipilih menjadi IPKS.
Katanya, tiga kampus itu dipilih bagi memberi tumpuan dalam aspek pembudayaan sukan dalam masyarakat sekali gus memenuhi objektif dasar 1Murid 1Sukan yang diperkenalkan oleh kerajaan.
"Pengiktirafan ini merupakan satu penghormatan kepada institut perguruan dalam usaha memartabatkan sukan di Malaysia," katanya.

KARANGAN B : CARA MEMANFAATKAN CUTI SEKOLAH

Cuti sekolah merupakan momen yang paling ditunggu-tunggu oleh semua orang terutamanya para pelajar. Semua golongan masyarakat tidak kira mud...