Tuesday 30 October 2018

PERANAN IBU BAPA MEMUPUK SEMANGAT PATRIOTISME DALAM KALANGAN ANAK-ANAK


Salah satu ciri yang perlu ada dalam diri setiap individu ialah semangat patriotisme. Patriotisme yang juga disebut sebagai semangat patriotik ialah semangat cinta akan negara atau kesanggupan seseorang mempertahankan negara daripada kemusnahan. Rakyat yang patriotik diibaratkan seorang individu yang sanggup mengorbankan dirinya untuk kepentingan negara tanpa banyak alasan. Antara tindakan yang dilihat sebagai cinta akan negara meliputi amalan bekerja dengan rajin, tidak menimbulkan masalah seperti terlibat dalam jenayah, dan membantu rakyat lain yang miskin. Sebelum negara mencapai kemerdekaan, semangat patrioisme begitu terserlah dalam diri masyarakat. Namun kini, semangat tersebut semakin lenyap terutamanya dalam kalangan generasi muda. Masyarakat kini kurang bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang terdapat di negara kita. Oleh itu, sebelum nasi menjadi bubur pelbagai usaha perlu dilakukan oleh pelbagai pihak bagi menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa masyarakat.   Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak?

Langkah yang paling mudah dilakukan oleh ibu bapa untuk menerapkan semangat cinta akan negara ialah sering membawa anak melancong ke tempat bersejarah di negara ini terutama ketika musim cuti sekolah. Hal ini sesuai dengan aforisme sambil menyelam minum air kerana melancong dapat mengeratkan hubungan antara keluarga dan apabila melihat tempat atau bangunan yang bersejarah, anak-anak akan lebih memahami peristiwa yang telah berlaku. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak melawat Kota A’Famosa yang terletak di Melaka. Kota yang dibina pada tahun 1511 ini menyimpan pelbagai maklumat dan pengajaran yang boleh menyuntik semangat  cinta akan negara. Lawatan ke muzium juga memberi faedah.Di Malaysia, terdapat sebuah muzium iaitu Muzium Negara yang mempunyai pelbagai khazanah orang pada zaman dahulu, pakaian istana, keris-keris yang digunakan oleh tokoh terdahulu untuk menentang penjajah luar. Anak-anak bukan sahaja dapat mengenali tokoh-tokoh terdahulu seperti Dato Bahaman dan Mat Kilau malah menerapkan semangat keberanian perwira-perwira negara yang mengamalkan peribahasa biar putih tulang, jangan putih mata dalam mempertahankan negara suatu ketika dulu. Tegasnya, lawatan ke tempat bersejarah boleh menimbulkan rasa bangga dan berterima kasih atas perjuangan tokoh tersebut seterusnya meningkatkan semangat cinta akan negara.

Seterusnya, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk bercerita mengenai peristiwa-peristiwa atau kisah yang berkaitan dengan sejarah kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang bersemangat patriotik. Bak kata pepatah, “pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Sebagai contohnya, sebelum anak-anak masuk tidur, ibu bapa boleh membacakan cerita mengenai pejuang-pejuang bangsa kepada anak-anak seperti kisah perjuangan Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Kapten Hasan dan lain-lain ketika menentang Inggeris. Ibu bapa boleh juga menceritakan sendiri pengalaman nenek moyang terdahulu, betapa  mereka menderita dizalimi dan didera semasa zaman penjajahan di negara kita. Anak-anak yang bijak sudah pastinya dapat membandingkan kehidupan mereka sekarang berbanding dahulu.  Hal ini boleh menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Malah, ibu bapa zaman moden ini boleh menggunakan teknologi untuk menghuraikan semangat patriotik kepada anak mereka. Penggunaan teknologi seperti Internet dan telefon pintar membolehkan ibu bapa menyalurkan lebih banyak informasi tentang sejarah negara dengan satu sentuhan sahaja. Ibu bapa boleh melayari internet untuk mendapatkan maklumat tentang sejarah negara yang kadangkala begitu mengelirukan itu juga. Sesungguhnya, ibu bapa perlu melaksanakan tanggungjawab dengan baik bagi memastikan anak mereka memiliki rasa cinta akan negara

Di samping itu, ibu bapa juga harus membawa anak-anak untuk menyertai sambutan peristiwa-peristiwa penting negara seperti sambutan hari kebangsaan  tanggal 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun. Biasanya, kawasan sambutan ini akan dipenuhi dengan pelbagai acara yang cuba meniupkan semangat cinta akan negara ini dalam hati mereka yang hadir itu. Suasana yang penuh dengan semangat nasionalisme ini pasti menimbulkan rasa bangga dalam hati anak yang menontonnya itu. Sebagai contoh, ibu bapa dan anak-anak boleh sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu-lagu patriotik agar semangat cinta kepada negara terus bersemarak dalam jiwa. Sambutan hari kebangsaan juga biasanya disertai oleh pelbagai kaum yang ada di negara kita. Justeru, ibu bapa dan anak-anak akan mendapat peluang untuk melihat persembahan daripada kaum lain dan berkenal-kenalan antara satu sama lain. Secara tidak langsung, perpaduan antara kaum akan tercapai dan wujudlah masyarakat yang harmoni yang bersemangat patriotik.  Jelaslah bahawa,  jika ibu bapa dapat membawa anak-anak menyambut hari Kebangsaan setiap tahun sejak mereka kecil  lagi sudah pasti semangat patriotik dapat dipupuk dengan mudah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Selain itu, pada masa ini ramai ibu bapa yang membimbing anak-anak mereka dalam menguasai subjek Sejarah.  Bagi segelintir pelajar, subjek Sejarah amat sukar dikuasai kerana banyak fakta yang perlu dihafal dan diingati.  Tambahan pula,   mereka tidak pernah merasai keperitan tokoh-tokoh terdahulu yang bermati-matian memperjuangkan tanah air yang bertuah ini.  Oleh itu, ibu bapa tidak boleh memberi tekanan kepada anak-anak dengan memaksa dan memarahi mereka jika gagal dalam subjek sejarah.  Hal ini kerana, anak-anak umpama kain putih, ibu bapalah yang perlu mencorakkannya dengan menerapkan semangat cinta akan negara.  Bertitik tolak daripada itu, ibu bapa perlu menyokong anak-anak mereka agar mereka tidak berasa tertekan malah semangat bersemangat dalam mempelajari subjek Sejarah.  Selain itu, ibu bapa boleh menghantar anak-anak mereka menghadiri kelas tuisyen untuk menguasai subjek Sejarah demi meningkatkan prestasi anak dalam subjek tersebut. Rentetan itu, penguasaan dalam subjek ini akan membibitkan rasa cinta terhadap subjek Sejarah seterusnya melahirkan kecintaan terhadap negara.

Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, langkah yang seterusnya ialah ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak- anak. Berdasarkan peribahasa, bapa borek, anak rintik, ibu bapa perlu menjadi ikon kepada anak-anak dalam menerapkan semangat cinta akan negara.  Dalam konteks ini, ibu bapa tidak sewajarnya menunjukkan etika yang bertentangan dengan semangat patriotisme itu sendiri.  Perlakuan yang pernah menjadi isu suatu ketika dahulu iaitu seorang warga Malaysia yang mempersendakan lagu Negaraku malah ada yang berani memijak bendera Jalur Gemilang tidak seharusnya dilakukan. Malah ibu bapa perlu menunjukkan semangat  cinta akan negara melalui kibaran Jalur Gemilang dengan bangga untuk diteladani oleh anak-anak.  Secara tidak langsung, perbuatan ini akan menjadi ikutan kerana di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.  Dengan cara ini juga, anak-anak akan sedar betapa pentingnya semangat patriotisme ini.  Tambahan pula, ibu bapa boleh bercerita tentang perjuangan tokoh-tokoh tanah air yang berjuang hingga titisan darah yang terakhir demi mempertahankan negara yang tercinta daripada ancaman penjajah.  Sememangnya, keluarga memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memupuk semangat cinta akan negara dalam diri anak-anak mereka.

Sebagai menggulung segala yang telah diperkataan di atas, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memupuk masyarakat yang mempunyai semangat cinta akan tanah air.  Pepohon pokok tidak akan berliuk lentuk jikalau tiada angin yang meniupnya oleh itu, ibu bapa bertanggungjawab memupuk semangat cinta akan negara dalam diri anak-anak.  Sebenarnya, anak-anak merupakan tonggak utama dalam menjayakan visi kudsi Wawasan 2020 pada masa hadapan.  Kita mengakui hakikat bahawa uslub ini perlu dilakukan dan boleh dimulakan dengan langkah-langkah yang telah disarankan di atas. Dengan berbuat demikian, anak-anak dapat memupuk malah menguatkan semangat cinta akan tanah air dalam diri mereka.  Nescaya, semangat patriotisme yang telah sebati dalam diri anak-anak akan dapat melahirkan generasi muda yang mantap jati diri. Sebagai kesimpulannya, semangat patriotik merupakan asas kekuatan rakyat untuk terus berbakti kepada negara.

17 comments:

  1. saya nak minta karangan faedah amalan berkerjasama dalam kalangan masyarakat

    ReplyDelete
  2. Nk mintak izin ambik isi ii karangan ni

    ReplyDelete
  3. Very useful...esok paper bm spm 2019

    ReplyDelete
  4. Karangan Yang bagus untuk pelajar

    ReplyDelete
  5. Tq isi isi karangannya semoga di permudahkan urusan

    ReplyDelete
  6. Esop dh exam spm 2020 semoga bermanfaat utk esop🤲🏻

    ReplyDelete
  7. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum cikgu saya mintak izin nk study amik bahan yeeee🙆

    ReplyDelete

KARANGAN B : CARA MEMANFAATKAN CUTI SEKOLAH

Cuti sekolah merupakan momen yang paling ditunggu-tunggu oleh semua orang terutamanya para pelajar. Semua golongan masyarakat tidak kira mud...