Sunday 11 October 2020

USAHA-USAHA MENGGALAKKAN AMALAN KITAR SEMULA



    Dalam keghairahan menghambat kemewahan dunia, masyarakat sering alpa dengan isu pembuangan sampah. Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 16 Januari 2018 telah melaporkan bahawa setiap rakyat Malaysia secara purata telah membuang 0.8 kilogram sampah setiap hari. Jumlah ini cukup untuk memenuhi Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) dalam tempoh sembilan hari setengah sahaja. Salah satu cara untuk mengatasi masalah ini ialah menerusi aktiviti kitar semula. Di Malaysia, program kitar semula telah bermula dengan Kempen Kitar Semula 1993. Walau bagaimanapun menurut Persatuan Pengguna  Pulau Pinang, kempen ini hanya mendapat sokongan lima peratus penduduk Malaysia. Satu anjakan paradigma perlu dilakukan demi menjayakan hasrat murni kerajaan. Rakyat perlu disedarkan bahawa pelbagai maslahat akan diperoleh daripada kempen kitar semula ini. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk menggalakkan amalan kitar semula?

Antara prakarsa bagi menggalakkan program kitar semula ialah menerusi didikan ibu bapa.  Menurut hadis Nabi Muhammad SAW, anak-anak ibarat kain putih yang akan dicorakkan oleh ibu bapanya. Dalam hal ini, ibu bapa wajar  memberi didikan tentang kemaslahatan amalan kitar  semula sejak anak-anak masih kecil. Sebagai contoh, anak watan hendaklah dilatih tentang mekanisme yang betul untuk melupuskan sampah sarap. Ibu bapa juga harus menjadi suri teladan dengan tidak membuang sampah merata-rata dan mengumpul barang-barang yang boleh dikitar semula mengikut kategori. Gerak geri ibu bapa ini pasti akan diwarisi oleh anak-anak kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Jelaslah bahawa, ibu bapa merupakan model anak-anak yang berusia setahun jagung dalam mempraktikkan amalan kitar semula.

 Pada masa yang sama, pihak sekolah turut memikul obligasi untuk memberi kesedaran dan menggalakkan para pelajar mengamalkan kitar semula. Sebagai contoh, pihak sekolah hendaklah mengadakan kempen kesedaran seperti ceramah dan pameran tentang kitar semula kepada pelajar. Nilai-nilai murni juga mesti disemai dalam sanubari pelajar-pelajar pada waktu Pendidikan Moral atau Pendidikan Sivik. Penubuhan Kelab Alam Sekitar juga prakarsa mapan bagi membantu usaha ini. Misalnya, kelab ini boleh menganjurkan pertandingan mengumpul barang-barang yang boleh dikitar semula atau mereka cipta barangan kitar semula. Natijahnya, para pelajar akan didedahkan dengan amalan kitar semula sekali gus dapat membantu penjagaan alam sekitar. Pendek kata, komitmen pihak sekolah merupakan usaha yang signifikan dalam menjayakan amalan kitar semula kerana hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.

Manhaj seterusnya ialah kerajaan perlu menggubal polisi tentang pembuangan sampah sarap dan kitar semula. Sebagai contoh, kerajaan boleh menetapkan peraturan pembuangan sampah mengikut kategori. Sehubungan dengan itu, pihak berkuasa tempatan pula wajar memperbanyak tong-tong kitar semula dan pusat kitar semula. Hal ini akan memudahkan orang ramai untuk menguruskan sampah mereka. Selain itu, pihak kerajaan juga boleh mengadakan kempen untuk meningkatkan kesedaran rakyat tentang amalan kitar kitar semula. Kempen ini seharusnya disokong oleh media massa bagi memastikan mesej kitar semula ini tersebar luas.Tegasnya, kerjasama kerajaan dan pelbagai pihak amat perlu dalam menjayakan sesuatu misi kerana muafakat membawa berkat.

Akhir kalam, semua pihak haruslah seia sekata untuk istiqamah dalam mengamalkan  kitar semula demi kepentingan alam sekitar. Masyarakat tidak boleh memandang enteng perkara ini supaya alam ini selamat untuk didiami oleh generasi sekarang dan akan datang. Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohammad pernah menyatakan bahawa rakyat yang sihat bergantung kepada persekitaran alam yang bersih dan indah. Masyarakat harus berusaha mengamalkan kitar semula kerana alah bisa tegal biasa. Oleh yang demikian, rakyat Malaysia diseru untuk terus mengamalkan amalan kitar semula dan berupaya meluaskan horizon pemikiran masyarakat untuk melahirkan generasi yang cinta akan alam sekitar.

(544 patah perkataan)


23 comments:

  1. Boleh membuat rujukan....good

    ReplyDelete
  2. thank u so much... it really helps me for my exam.. really appreciated

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  4. terima kasih post ini sangat membantukan!

    ReplyDelete
  5. Tq...sangat membantu untuk exam❣️

    ReplyDelete

KARANGAN B : CARA MEMANFAATKAN CUTI SEKOLAH

Cuti sekolah merupakan momen yang paling ditunggu-tunggu oleh semua orang terutamanya para pelajar. Semua golongan masyarakat tidak kira mud...