Thursday 30 August 2018

FAEDAH MEMUPUK SEMANGAT KEJIRANAN


Faedah semangat kejiranan (drpd aktiviti memupuk semangat kejiranan – gotong-royong/ hari keluarga / rumah terbuka / ziarah menziarahi)
-          mewujudkan perpaduan
-          memupuk sikap saling membantu
-          melahirkan sikap hormat-menghormati

Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat seikat bak sirih serumpun bak serai.  Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain. Nabi Muhamad s.a.w pernah bersabda bahawa jiran mempunyai tiga hak berbeza iaitu jiran seagama, jiran sesama insan dan jiran yang juga keluarga kita. Namun dek kerana kesibukan tugas dan tuntutan kerjaya, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu. Banyak kempen dan  usaha telah dijalankan oleh kerajaan dan pelbagai pihak supaya amalan kejiranan menjadi darah daging masyarakat. Persoalannya, mengapakah semangat kejiranan begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat?

Sebenarnya semangat kejiranan dapat memupuk sikap saling membantu dalam kalangan anggota masyarakat di sesuatu tempat . Sikap ini boleh dipupuk melalui penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat mereka tinggal. Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, hari keluarga. majlis sambutan perayaan  atau perjumpaan bulanan komuniti membolehkan semua jiran bertemu dan saling berkenalan. Sebagai contoh, dalam majlis keramalan seperti majlis perkahwinan, jiran akan membantu apa yang patut sehingga majlis itu selesai. Kadang kala jiran juga memberikan sumbangan kewangan untuk menjayakan majlis yang diadakan. Secara tidak langsung aktiviti ini merapatkan hubungan antara jiran tetangga. Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa semangat kejiranan yang dipupuk dapat membentuk sikap kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.

Selain itu, semangat kejiranan juga penting kerana dapat mewujudkan perpaduan antara masyarakat berbilang bangsa di negara kita. Hal ini kerana semangat kejiranan dapat membentuk semangat kekitaan dan melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Mengimbas kembali Peristiwa 13 Mei 1969 yang menunjukkan bahawa jika masyarakat tidak bersatu padu dan berpecah-belah, negara akan musnah dan kehidupan anggota masyarakat tidak akan selesa dan aman. Tuntasnya, semangat kejiranan membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain bak kata perbahasa Melayu, tak kenal maka tak cinta. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari  perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Dengan ini perselisihan pendapat boleh dielakkan dan pelbagai program pembangunan dapat dilaksanakan demi membawa kemajuan kepada rakyat.Tegasnya semangat kejiranan penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.

          Negara yang cemerlang lahir daripada rakyatnya yang berhemah tinggi dan hidup bersatu padu seia sekata . Jika masyarakat dapat berganding bahu dan saling mengekalkan kehidupan yang harmoni maka negara akan melakar kejayaan gemilang. Semangat kejiranan merupakan salah satu elemen penting dan vital demi melahirkan sikap hormat-menghormati dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sikap ini amat signifikan untuk membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan  semangat cinta akan negara . Jika masyarakat dapat hidup bersama dalam suasana yang aman dan harmoni maka segala kemajuan yang disediakan oleh kerajaan di seluruh pelosok tanah air akan dapat dinikmati bersama-sama secara adil dan saksama. Sebagai contohnya, kerajaan telah berupaya membina pelbagai kemudahan dan infrastrukutr di kawasan taman-taman perumahan seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti atas inisiatif, semangat kejiranan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh anggota masyarakat di sesetengah kawasan tempat tinggal. Jelaslah semangat kejiranan penting bagi membantu anggota masyarakat dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan.

            Intihanya, semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Masyarakat diharap tidak mengamalkan gaya hidup bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Seorang aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye pernah berkata bahawa langkah paling bijaksana untuk memastikan kewujudan masyarakat madani adalah dengan mengamalkan semangat hidup berjiran. Masyarakat diseru supaya mengamalkan semangat kejiranan agar kebaikan yang akan dijelmakan melalui semangat tersebut dapat dimanfaatkan oleh semua pihak. Tuntasnya, Semangat kejiranan bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan di puncak jagat.

3 comments:

KARANGAN B : CARA MEMANFAATKAN CUTI SEKOLAH

Cuti sekolah merupakan momen yang paling ditunggu-tunggu oleh semua orang terutamanya para pelajar. Semua golongan masyarakat tidak kira mud...