Tuesday 21 May 2019

FAEDAH-FAEDAH KOPERASI DI SEKOLAH



Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari menjelang ambang 2020, keadaan ini menandakan titik permulaan zaman yang serba mencabar minda kita. Dalam meniti ranjau kehidupan yang penuh pancaroba ini, pihak sekolah telah menubuhkan koperasi di sekolah. Koperasi merupakan perniagaan yang dibangunkan oleh pihak sekolah yang ahlinya  terdiri daripada pelajar, guru,  dan seluruh  warga sekolah. Dengan adanya koperasi di sekolah, kita dapat memperoleh banyak kebaikan yang tidak dapat  kita kira  dengan jari jemari kita!. Persoalannya kini, apakah kebaikan penubuhan koperasi sekolah kepada warga sekolah itu sendiri? Oleh hal yang demikian, faedah-faedah koperasi sekolah yang akan menjadi fokus perbincangan saya pada hari ini akan dikupas dan dihuraikan secara terperinci demi kebaikan bersama.

Sebagai mukadimah pembicara, saya ingin melontarkan idea saya tentang faedah koperasi terhadap warga sekolah. Memang tidak dapat dinafikan bahawa pelajar atau guru dapat membeli barangan dengan harga yang lebih murah. Mereka dapat menikmati barangan yang harganya berpatutan dan barangan yang berkualiti. Umum mengetahui bahawa koperasi menjual pelbagai barangan dan makanan seperti alat tulis, minuman, kertas kajang, buku latihan dan sebagainya. Kesemua ini telah memenuhi kehendak dan keperluan guru dan pelajar. Sebagai analogi, pelajar dapat membeli sebatang pen di koperasi dengan harga yang rendah berbanding membeli sebatang pen di pasar raya. Tambahan pula, barangan di pasar raya mahal-mahal belaka. Hal ini secara tidak langsung, pelajar dapat menjimatkan wang untuk membeli alat-alat tulis dan buku-buku rujukan bagi meningkatkan prestasi pembelajaran. Tegasnya, koperasi menawarkan barangan yang harganya berpatutan dan berkualiti kepada warga sekolah.

Bukan setakat itu sahaja, koperasi membolehkan anak-anak muridnya mendapat ilmu perniagaan. Apabila pelajar mengendalikan urus niaga di koperasi, mereka dapat memahami dan menguasai asas perniagaan. Pengalaman baru ini tidak dapat dipelajari dalam silibus sekolah dan merupakan satu pendekatan yang baik untuk mempraktikkan apa-apa yang dipelajari di dalam bilik darjah. Pelajar yang belajar subjek-subjek seperti Prinsip Perakaunan, subjek Perniagaan dan Perdagangan dapat memahami apa-apa yang dipelajari dengan lebih lebih lanjut dan efektif dalam kehidupan seharian mereka. Sebagai contoh, pelajar dapat berinteraksi dan bertukar-tukar pendapat dengan pelajar yang lain dan guru tentang selok-belok dalam urus niaga. Rentetan daripada situasi tersebut, hubungan silaturahim bagai isi dengan kuku dapat dipupuk antara guru dan pelajar. Malah, mereka dapat menambah ilmu pengetahuan mereka supaya mereka tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung. Jelaslah, bahawa asas perniagaan dapat dimantapkan dalam sanubari anak-anak didik melalui penglibatan mereka dalam koperasi sekolah. 

Umum juga mengetahui bahawa koperasi memberi faedah kepada warga sekolah kerana koperasi membantu memudahkan para pelajar dan warga sekolah memperoleh barangan dan mendapatkan pelbagai perkhidmatan yang berkaitan dengan keperluan sekolah. Mudah, selesa apabila koperasi sekolah menjadi tempat membeli belah.  Selain menjual alat tulis dan keperluan persekolahan, kini pihak koperasi turut menyediakan pelbagai perkhidmatan lain  seperti mesin fotostat, menjadi agen tempahan buku, mencetak baju T dan turut juga menjual barang kering keperluan dapur. Malah, Koperasi Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah, di Arau, Perlis mengambil inisiatif menawarkan perkhidmatan bas sendiri demi memudahkan pelajarnya.  ‘You name it, you got it’. Dengan penubuhan koperasi, secara tidak langsung pelajar dan warga sekolah tidak akan membuang masa dan tidak akan membazir  tenaga.  Tidak sampai selejang kuda berlari, hanya dalam masa sepelaung sahaja kita sudah di pintu koperasi sekolah. Ternyata  koperasi sekolah  memudahkan pelajar mendapatkan segala keperluan sekolah  dalam jangka masa yang singkat.

       Sebagai menggulung segala yang diperkatakan di atas, penubuhan koperasi oleh pihak sekolah yang telah lama berkembang di Malaysia seperti cendawan tumbuh selepas hujan memberi banyak faedah kepada warga sekolah. Oleh hal yang demikian kita perlu bersyukur dan menghargai ahli jawatankuasa koperasi yang begitu bersungguh- sungguh mengendalikan dan mengurus hal ehwal koperasi. Tanpa usaha gigih mereka, koperasi sekolah sudah pasti bagai sebutir batu berlian yang tidak berguna. Justeru, sebagai warga sekolah yang bertanggungjawab, kita mestilah saling bekerjasama dan bukannya bersikap bagai enau dalam belukar dalam menghadapi sebarang isu berkaitan koperasi sekolah. Semoga segala usaha yang dilakukan berjaya memastikan koperasi sekolah semakin dinaiktaraf.  Bak kata pepatah, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.  Sebagai penutup bicara, marilah sama-sama kita hayati sebuah ungkapan yang bermakna iaitu Koperasi Sekolah Pemangkin Ekonomi Ummah.

Justeru atau justeru itu....

Menurut data DBP, perkataan "Justeru" mempunyai dua makna.

 1. Justeru bermakna kebetulan, tepat, kena benar.
 Contohnya: Kenapa justeru sekarang ini engkau harus pergi?.

 2. Makna kedua ialah malahan, bahkan.
 Contohnya "Sekali-sekali tidak pernah saya mencaci dia, justeru saya puji dia".

Penggunaan "justeru itu" tidak digunakan kerana lazimnya kita tidak berkata malahan itu, bahkan itu. 

Berdasarkan makna tersebut, memadai dengan justeru (selepas itu bubuh tanda koma), bukan justeru itu.

 *sumber: laman web DBP

KARANGAN B : CARA MEMANFAATKAN CUTI SEKOLAH

Cuti sekolah merupakan momen yang paling ditunggu-tunggu oleh semua orang terutamanya para pelajar. Semua golongan masyarakat tidak kira mud...