Wednesday, 29 July 2026

USAHA-USAHA MENGUKUHKAN PERPADUAN KAUM

 SOALAN 1 (BAHAGIAN B) PERCUBAAN PERLIS 2026

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik dengan kepelbagaian kaum. Kepelbagaian ini mencerminkan perpaduan yang kukuh dan menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran negara. Kerajaan giat melaksanakan program sambutan perayaan pelbagai kaum bagi mengukuhkan perpaduan rakyat.

Huraikan usaha yang terdapat dalam petikan di atas berserta usaha-usaha lain untuk mengukuhkan hasrat tersebut.


CADANGAN JAWAPAN

Malaysia terkenal sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya. Kepelbagaian ini perlu dipelihara kerana perpaduan merupakan asas kepada keamanan dan kemakmuran negara. Menurut Tun Dr. Mahathir Mohamad, perpaduan rakyat ialah kunci utama kepada kestabilan dan pembangunan negara. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang  perlu dilaksanakan untuk mengukuhkan perpaduan rakyat ?

Salah satu usaha untuk memupuk perpaduan ialah mengadakan program sambutan perayaan pelbagai kaum. Program ini membolehkan rakyat mengenali adat resam dan budaya kaum lain dengan lebih dekat. Sebagai contoh, rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali sering dianjurkan oleh kerajaan serta masyarakat setempat. Kesannya, rakyat dapat bergaul mesra tanpa mengira bangsa dan agama. Bak kata pepatah, “tak kenal maka tak cinta”, hubungan yang erat dapat terjalin apabila rakyat saling memahami budaya masing-masing. Tegasnya, sambutan perayaan pelbagai kaum mampu mengukuhkan perpaduan rakyat.

Selain itu, aktiviti gotong-royong di kawasan kejiranan juga dapat memperkukuh perpaduan. Aktiviti ini melibatkan kerjasama penduduk dalam membersihkan kawasan perumahan dan kemudahan awam. Sebagai contoh, penduduk pelbagai kaum berganding bahu membersihkan surau, kuil, taman permainan atau dewan komuniti. Kesannya, semangat bekerjasama dan saling membantu dapat dipupuk. Peribahasa “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” menggambarkan kepentingan amalan ini dalam mewujudkan masyarakat yang bersatu padu. Jelaslah bahawa gotong-royong merupakan medium yang berkesan untuk mengeratkan hubungan antara kaum.

Di samping itu, institusi pendidikan memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan. Pihak sekolah boleh mengadakan pelbagai program seperti pertandingan sukan, aktiviti kokurikulum dan sambutan Bulan Kemerdekaan yang melibatkan semua murid. Sebagai contoh, murid daripada pelbagai kaum ditempatkan dalam satu pasukan bagi menjalankan aktiviti yang dirancang. Kesannya, mereka dapat belajar bekerjasama dan menghormati perbezaan budaya. Sesungguhnya, perpaduan yang dipupuk sejak bangku sekolah akan melahirkan generasi yang bersatu hati pada masa hadapan. Tegasnya, pendidikan merupakan wadah penting untuk menyemai semangat perpaduan.

Kesimpulannya, program sambutan perayaan pelbagai kaum, aktiviti gotong-royong dan peranan institusi pendidikan merupakan antara usaha yang dapat mengukuhkan perpaduan rakyat. Semua pihak perlu bekerjasama bagai aur dengan tebing bagi memastikan perpaduan negara terus terpelihara. Kerajaan hendaklah memperbanyak program yang melibatkan masyarakat berbilang kaum. Saya berharap agar rakyat Malaysia sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan saling menghormati demi mengekalkan keamanan, keharmonian dan kemakmuran negara


No comments:

Post a Comment

USAHA-USAHA MENGUKUHKAN PERPADUAN KAUM

 SOALAN 1 (BAHAGIAN B) PERCUBAAN PERLIS 2026 Malaysia merupakan sebuah negara yang unik dengan kepelbagaian kaum. Kepelbagaian ini mencermin...