Wednesday, 29 July 2026

USAHA-USAHA MENGUKUHKAN PERPADUAN KAUM

 SOALAN 1 (BAHAGIAN B) PERCUBAAN PERLIS 2026

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik dengan kepelbagaian kaum. Kepelbagaian ini mencerminkan perpaduan yang kukuh dan menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran negara. Kerajaan giat melaksanakan program sambutan perayaan pelbagai kaum bagi mengukuhkan perpaduan rakyat.

Huraikan usaha yang terdapat dalam petikan di atas berserta usaha-usaha lain untuk mengukuhkan hasrat tersebut.


CADANGAN JAWAPAN

Malaysia terkenal sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya. Kepelbagaian ini perlu dipelihara kerana perpaduan merupakan asas kepada keamanan dan kemakmuran negara. Menurut Tun Dr. Mahathir Mohamad, perpaduan rakyat ialah kunci utama kepada kestabilan dan pembangunan negara. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang  perlu dilaksanakan untuk mengukuhkan perpaduan rakyat ?

Salah satu usaha untuk memupuk perpaduan ialah mengadakan program sambutan perayaan pelbagai kaum. Program ini membolehkan rakyat mengenali adat resam dan budaya kaum lain dengan lebih dekat. Sebagai contoh, rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali sering dianjurkan oleh kerajaan serta masyarakat setempat. Kesannya, rakyat dapat bergaul mesra tanpa mengira bangsa dan agama. Bak kata pepatah, “tak kenal maka tak cinta”, hubungan yang erat dapat terjalin apabila rakyat saling memahami budaya masing-masing. Tegasnya, sambutan perayaan pelbagai kaum mampu mengukuhkan perpaduan rakyat.

Selain itu, aktiviti gotong-royong di kawasan kejiranan juga dapat memperkukuh perpaduan. Aktiviti ini melibatkan kerjasama penduduk dalam membersihkan kawasan perumahan dan kemudahan awam. Sebagai contoh, penduduk pelbagai kaum berganding bahu membersihkan surau, kuil, taman permainan atau dewan komuniti. Kesannya, semangat bekerjasama dan saling membantu dapat dipupuk. Peribahasa “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” menggambarkan kepentingan amalan ini dalam mewujudkan masyarakat yang bersatu padu. Jelaslah bahawa gotong-royong merupakan medium yang berkesan untuk mengeratkan hubungan antara kaum.

Di samping itu, institusi pendidikan memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan. Pihak sekolah boleh mengadakan pelbagai program seperti pertandingan sukan, aktiviti kokurikulum dan sambutan Bulan Kemerdekaan yang melibatkan semua murid. Sebagai contoh, murid daripada pelbagai kaum ditempatkan dalam satu pasukan bagi menjalankan aktiviti yang dirancang. Kesannya, mereka dapat belajar bekerjasama dan menghormati perbezaan budaya. Sesungguhnya, perpaduan yang dipupuk sejak bangku sekolah akan melahirkan generasi yang bersatu hati pada masa hadapan. Tegasnya, pendidikan merupakan wadah penting untuk menyemai semangat perpaduan.

Kesimpulannya, program sambutan perayaan pelbagai kaum, aktiviti gotong-royong dan peranan institusi pendidikan merupakan antara usaha yang dapat mengukuhkan perpaduan rakyat. Semua pihak perlu bekerjasama bagai aur dengan tebing bagi memastikan perpaduan negara terus terpelihara. Kerajaan hendaklah memperbanyak program yang melibatkan masyarakat berbilang kaum. Saya berharap agar rakyat Malaysia sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan saling menghormati demi mengekalkan keamanan, keharmonian dan kemakmuran negara


Tuesday, 28 July 2026

MANFAAT AGROPELANCONGAN

 SOALAN 2 PERCUBAAN PERLIS 2026

Agropelancongan merupakan aktiviti pelancongan yang berasaskan sektor pertanian dan industri asas tani. Industri agropelancongan di Malaysia melibatkan pelbagai destinasi seperti ladang, dusun buah-buahan, kawasan penternakan dan pusat perikanan yang dibuka untuk kunjungan pelancong. Industri ini dapat mempromosikan produk tempatan, memberi peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi negara.

Berdasarkan petikan di atas, huraikan manfaat-manfaat tersebut.

CADANGAN JAWAPAN

Pendahuluan
Agropelancongan merupakan salah satu sektor pelancongan yang semakin berkembang di negara kita. Aktiviti ini penting kerana dapat Menggabungkan sektor pertanian dengan industri pelancongan sekali gus memberikan pelbagai manfaat kepada masyarakat dan negara. Menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sektor pelancongan mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negara. Berdasarkan petikan tersebut, terdapat beberapa manfaat agropelancongan yang wajar dihuraikan.

Isi 1: Mempromosikan produk tempatan
Salah satu manfaat agropelancongan ialah dapat mempromosikan produk tempatan kepada pelancong. Melalui lawatan ke ladang, dusun buah-buahan atau pusat perikanan, pelancong berpeluang mengenali dan membeli hasil pertanian tempatan. Sebagai contoh, pelancong yang mengunjungi dusun durian dapat menikmati serta membeli durian tempatan secara terus daripada pengusaha. Keadaan ini dapat meningkatkan jualan produk dan memperkenalkan keunikan hasil tempatan ke peringkat yang lebih luas. Bak kata pepatah, “tak kenal maka tak cinta.” Tegasnya, agropelancongan berperanan penting dalam mempromosikan produk tempatan.

Isi 2: Memberi peluang pekerjaan
Selain itu, agropelancongan turut membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Kehadiran pelancong memerlukan tenaga kerja dalam pelbagai bidang seperti pemandu pelancong, pekerja ladang, pengusaha homestay dan penjual produk pertanian. Sebagai contoh, kawasan agropelancongan yang popular memerlukan ramai pekerja untuk menguruskan aktiviti pelancong. Kesannya, kadar pengangguran dapat dikurangkan dan taraf hidup masyarakat setempat dapat ditingkatkan. Ungkapan “rezeki jangan ditolak” amat sesuai menggambarkan keadaan ini. Jelaslah bahawa agropelancongan mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat.

Isi 3: Meningkatkan ekonomi negara
Di samping itu, agropelancongan dapat meningkatkan ekonomi negara. Kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara akan meningkatkan perbelanjaan dalam sektor pelancongan dan pertanian. Sebagai contoh, pelancong akan membelanjakan wang untuk penginapan, makanan, pengangkutan dan pembelian produk pertanian. Kesannya, pendapatan pengusaha serta hasil negara akan bertambah. Situasi ini bertepatan dengan peribahasa “sambil menyelam minum air” kerana sektor pertanian dan pelancongan dapat dimajukan secara serentak. Tegasnya, agropelancongan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Penutup
Kesimpulannya, agropelancongan memberikan pelbagai manfaat seperti mempromosikan produk tempatan, menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi negara. Oleh itu, pihak kerajaan dan masyarakat perlu bekerjasama untuk memajukan sektor ini melalui promosi yang lebih meluas serta penyediaan kemudahan yang lengkap. Dengan usaha yang berterusan, industri agropelancongan negara akan terus berkembang maju. Harapannya, Malaysia dapat menjadi destinasi agropelancongan yang terkenal di peringkat antarabangsa dan seterusnya membawa kemakmuran kepada negara.


USAHA-USAHA MENGUKUHKAN PERPADUAN KAUM

 SOALAN 1 (BAHAGIAN B) PERCUBAAN PERLIS 2026 Malaysia merupakan sebuah negara yang unik dengan kepelbagaian kaum. Kepelbagaian ini mencermin...