Sempena Hari Pengguna 2014, Perdana Menteri kita
telah menyeru rakyat agar berjimat
cermat dalam segala aspek
kehidupan demi menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup. Beliau juga
menasihati rakyat agar ingat sebelum kena, jimat sebelum habis
agar tidak menyesal kemudian hari. Rakyat juga digesa agar tidak menjadi hamba
kepada hawa nafsu ketika membeli-belah kerana ikut hati mati, ikut rasa binasa.
Pada hemat saya, pandangan Perdana Menteri ini sewajarnya direnungi kerana banyak faedahnya jika amalan berjimat cermat dijadikan agenda utama
dalam kamus hidup kita.
Melalui amalan berjimat cermat, perbelanjaan harian dapat dikurangkan. Hal ini demikian kerana kita membandingkan harga
barang-barang yang hendak kita beli dan membeli barangan buatan tempatan yang
lebih murah harganya. Barang yang berkualiti dan mahal juga eloklah dibeli
kerana alah membeli, menang memakai. Kasut sekolah Bata, misalnya, bukan sahaja
tahan lama bahkan berbaloi. Pemakaian kasut ini memberikan keselesaan dan
kepuasan. Dengan cara ini, bukan sahaja perbelanjaan
harian dapat dijimatkan bahkan
kebahagiaan terjamin.
Amalan berjimat cermat juga dapat menambah simpanan kita. Apabila kita menjimatkan perbelanjaan, wang yang
dihematkan dan ditabungkan di institusi kewangan akan meningkat, bak kata
pepatah sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Wang simpanan ini
amat berguna ketika menghadapi waktu kecemasan seperti hendak menjalani
pembedahan. Menurut Datuk Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah, kita
tidak perlu “mengemis” dan menjadi mangsa ceti haram kerana lintah
darat ini memang menangguk di air keruh dan menjadi duri
dalam daging dalam kehidupan kita. Tegasnya, bukan sekadar wang tabung kita bertambah malah kesenangan hidup terpelihara.
Seterusnya, amalan berhemat dalam pengurusan
kewangan akan
mendidik seseorang individu untuk berdikari. Kita tidak perlu bersandar pada ibu bapa ataupun
pada kerajaan untuk mendapatkan bantuan kewangan ataupun biasiswa demi
mengongkosi pengajian kita di menara gading nanti. Dewasa ini, banyak pelajar cemerlang yang
menggantungkan harapan pada biasiswa tajaan JPA dan pada pinjaman PTPTN. Apabila
gagal beroleh bantuan kewangan, mereka berasa seolah-olah langit runtuh, bumi cair ataupun kaca
terhempas ke batu. Jadi, kita patut
berjimat cermat untuk berdikari agar
hidup kita lebih damai dan sejahtera.
Intihanya, cermat
masa banyak, jimat masa sedikit. Kita hendaklah menghayati pesanan agama kita, yakni
ingat akan kesakitan ketika sihat; ingat akan ketuaan usia ketika muda; ingat
akan kematian ketika hidup; dan ingat akan kepapaan ketika kaya seandainya kita
hendak bahagia sepanjang hayat. Sehubungan ini, ibu bapa berperanan sebagai
cermin perbandingan yang positif kepada si anak, dan bukannya seperti ketam
menyuruh anaknya berjalan betul. Dengan terpupuknya nilai positif ini
dalam lubuk kalbu generasi muda, mereka akan senantiasa mampu memberi dan tidak
akan meminta.
No comments:
Post a Comment