Wednesday 20 July 2016

MASALAH PEMBUANGAN BAYI

Belakangan ini rakyat negara ini sering didedahkan dengan berita-berita tentang pembuangan bayi. (A1- pernyataan soalan/tajuk) Terdapat berita tentang bayi yang dibuang ke dalam tong sampah, ke lubang tandas, ke dalam semak, ke dalam sungai dan ada yang ditinggalkan di dalam surau, masjid dan di depan pintu rumah orang. (A2- isu) Lebih menyayat hati kita apabila mayat bayi masih bertali pusat, dikerumuni semut, berbalut kertas surat khabar, di dalam beg plastik dan ada yang dibuang ke dalam longkang. Amat menyedihkan apabila terdapat mayat bayi yang dibuang ke dalam tong sampah digonggong oleh anjing-anjing liar. (A3- keseriusan isu)  Mengapakah manusia hilang pertimbangan dan sanggup membuang atau membunuh zuriat sendiri?  Budaya siapakah yang mengajarkan amalan zalim dan tidak bertamadun ini? (A4- kehendak soalan)
___________________________________________

Pembuangan bayi biasanya melibatkan golongan remaja yang bertindak terburu-buru ketika mengambil tindakan. Kemelut yang semakin serius ini bagaikan bangkai gajah yang tidak dapat ditutupi dengan nyiru lagi apabila akhbar-akhbar perdana negara sering memaparkan kejadian ini dalam akhbar mereka dengan begitu meluas tanpa segan-silu. Hal ini bukan sahaja menyusahkan pelbagai pihak malah imej negara kita akan tercalar. Jadi, sebelum mencari jalan penyelesaiannya, kita perlulah mengenal pasti sebab musabab yang menjadi akar umbinya sebelum kemelut ini menjadi barah kerana kalau tiada angin masakan pokok bergoyang.

Banyak kajian menunjukkan bahawa punca utama wujudnya masalah ini ialah perhubungan bebas antara lelaki dengan perempuan(APA). Pergaulan bebas tanpa batasan dalam kalangan remaja membawa kepada perbuatan terlanjur dan mengandung anak luar nikah (MENGAPA). Apabila nasi sudah menjadi bubur, pembuangan bayi atau membunuh bayi dianggap jalan terbaik (BAGAIMANA). Contohnya, baru-baru ini akhbar tempatan melaporkan bahawa mayat bayi  ditemukan di dalam kolam takungan sampah di ibu kota dan hasil siasatan menunjukkan bahawa ibunya ialah remaja yang dianiaya oleh teman lelakinya (CONTOH).  Kita dapat rumuskan bahawa pergaulan bebas tanpa batasan akan menyebabkan perbuatan hina ini berterusan dan menjatuhkan imej masyarakat negara ini yang sedang membentuk masyarakat penyayang(PENEGASAN/KESIMPULAN).

Kemelut ini berlaku lantaran kurangnya didikan agama dalam kalangan remaja kita. Kekurangan ini mungkin akibat kekurangan didikan dan perhatian ibu bapa serta impak kemodenan yang melanda negara kita. Remaja kita tidak mempunyai pegangan agama yang tebal dan mudah dipengaruhi oleh desakan seksual mereka itu. Tanpa didikan agama yang teguh, mereka tidak dapat membezakan sesuatu perbuatan mereka itu betul atau salah dan tidak dapat membezakan antara hak dengan batil. Hal ini dapat dilihat apabila remaja perempuan mudah terlibat dalam kancah perzinaan sedangkan berzina itu haram di sisi agama. Kesannya, banyak anak luar nikah yang lahir dan akhirnya bayi yang tidak berdosa itu dibuang demi menutup malu perbuatan remaja yang goyah imannya. Jadi, didikan agama yang kurang mantap menyebabkan masalah ini kian meruncinng.

Selain itu, isu ini turut berleluasa kerana institusi kekeluargaan itu sendiri sudah runtuh. Sudah menjadi kebiasaan kini sesebuah keluarga itu tidak mempunyai ayah atau ibu untuk mendidik. Ketiadaan ini menyebabkan tanggungjawab mendidik anak tidak menjadi satu keperluan yang harus dipenuhi dengan baik. Menurut kajian Jabatan Kebajikan Masyarakat bahawa 50 peratus masalah sosial remaja berpunca daripada keluarga yang porak peranda. Ibu atau bapa yang tunggal sering sibuk mencari tuntutan nafkah untuk menyara kehidupan keluarganya. Lantaran itu, mereka telah mengabaikan tanggungjawab hakiki mereka dalam mendidik dan memantau setiap perlakuan anak mereka. Pengabaian ini akhirnya mengundang padah apabila anak mereka terlibat dalam perbuatan yang sumbang. Sesungguhnya, keadaan inilah yang menyebabkan masalah pembuangan bayi menjadi-jadi.

Sikap masyarakat yang terlalu suka menghukum turut menjadi penyebab pembuangan bayi ini berlaku. Kita suka menganggap bahawa wanita yang mengandung tanpa suami ini sebagai melakukan kesalahan tanpa menimbang keadaan yang menjurus kemelut itu berlaku. Mungkin ada antara mereka yang mengandung disebabkan tindakan manusia yang durjana sehingga sanggup merogol gadis yang tidak berdosa. Dalam hal ini, wajarkah remaja itu dipersalahkan oleh perbuatan manusia yang tidak berhati perut itu? Sememangnya kita harus bersimpati terhadap mereka tetapi keadaan menjadi lebih rumit apabila terdapat segelintir daripada ahli masyarakat kita yang lebih suka menunding jari kepada sesetengah remaja tanpa meneliti punca yang menjadi permasalahan ini. Malangnya, masih terdapat pemikiran masyarakat yang kolot lalu menyebabkan remaja tidak mempunyai tempat untuk mengadu masalah mereka sehingga sanggup membiarkan anak mereka berada di tempat yang tidak sepatutnya daripada dipandang jijik oleh masyarakat. Tegasnya, sikap masyarakat seumpama ini merupakan pemangkin gejala ini.

Arus kemodenan terutama melalui media massa telah menyemarakkan masalah ini. Program dari Barat yang mengaitkan kebebasan dalam pergaulan telah menyebabkan remaja mudah terpengaruh. Kehidupan moden sering dikaitkan dengan hubungan seksual yang bebas. Remaja yang baru berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang sering dikuasai oleh perasaan ingin mencuba pasti akan meniru aksi-aksi atau adegan-adegan panas yang terdapat dalam filem Barat bagi memuaskan nafsu mereka. Mereka tidak lagi berasa takut ketika melakukan perkara yang terkutuk itu asalkan nafsu berahi mereka dapat dipenuhi. Lantaran itu, masalah ini terus menerus menjadi sesuatu yang lumrah dan menjadi darah daging dalam hidup mereka. Sebagai akibatnya, lahirlah anak luar nikah dan masalah pembuangan bayi semakin sukar dikawal lantaran ingin menutup rasa aib atas perbuatan ibu bapa yang masih remaja itu.

Sebelum kudis menjadi tokak, kemelut remaja ini haruslah diatasi segera. Kita tidak seharusnya mendopang dagu tetapi pelbagai pendekatan yang proaktif perlulah diambil demi menangani masalah ini kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Satu daripada langkah yang perlu dilaksanakan ialah semua lapisan masyarakat hendaklah diberi pendidikan keibubapaan melalui pelbagai program. Pendidikan ini bertujuan memberikan buah fikiran mengenai perkahwinan yang sah kepada rakyat. Melalui cara ini, orang ramai akan menjadi lebih berhati-hati supaya tidak melakukan perbuatan sumbang. Perkara ini harus ditekankan kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya para remaja. Sebagai contohnya, program pendidikan keibubapaan perlu diadakan untuk mendidik remaja tentang perkara yang perlu diamalkan dalam kehidupan berkeluarga. Tegasnya, orang ramai perlu diberi kesedaran tentang kesan buruk aktiviti pembuangan bayi.

Selain itu, pihak berkenaan hendaklah mengadakan ceramah atau kempen pada peringkat sekolah mahupun peringkat taman-taman perumahan. Melalui program tersebut, masyarakat dapat diberi kesedaran tentang keburukan pergaulan bebas. Seperti yang kita ketahui, kes pembuangan bayi berpunca daripada pergaulan bebas yang dianggap sebagai suatu perkara biasa bagi warga urban kini. Kita seharusnya mengelakkan diri daripada unsur negatif tersebut supaya tidak menjadi seperti sudah terhantuk baru nak tengadah. Sebagai contohnya, kempen kesedaran ini perlu dilakukan secara besar-besaran melalui iklan, risalah dan lain-lain. Kempen murni ini haruslah dilakukan secaraberketiak ular dan bukannya hangat-hangat tahi ayam. Sesungguhnya, usaha dinamik dan secara konsisten ini diperlukan untuk membimbing rakyat supaya sentiasa berada di landasan yang betul dalam kehidupan.

Langkah yang seterusnya ialah pihak kebajikan masyarakat perlu menyediakan perkhidmatan kaunseling. Khidmat nasihat hendaklah diberikan kepada mangsa rogol dan individu yang mengandung tanpa nikah. Hal ini disebabkan mangsa mengalami ketidakstabilan emosi dan mungkin akan cuba mencederakan diri sendiri. Sebagai contohnya, mangsa rogol sanggup membunuh diri kerana tidak dapat menerima kenyataan sebenar. Penubuhan Rumah Sri Puteri oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat memberikan perlindungan dan khidmat nasihat kepada mereka yang telah terlanjur ini. Oleh hal yang demikian, pusat kaunseling perlu diperbanyak di seluruh negara untuk membantu mangsa-mangsa tersebut daripada terus melakukan perkara yang terkutuk.

Di samping itu, pesalah yang disabitkan kesalahan berzina atau kes rogol perlu dikenakan hukuman yang berat. Perogol atau orang yang mencabul kehormatan wanita merupakan manusia yang tidak berperikemanusiaan. Mereka perlu dijatuhi hukuman yang berat sebagai peringatan kepada orang lain. Hal ini menyebabkan wanita-wanita ini kehilangan harga diri dan terpaksa menanggung malu sepanjang hayatnya. Perkara tersebut juga akan menconteng arang ke muka ahli keluarga mangsa. Oleh sebab itu, undang-undang negara perlu dikuatkuasakan supaya perogol atau mereka yang berzina berasa serik atau takut untuk melakukan perkara tersebut yang salah di sisi agama. Sebagai contohnya, hukuman bagi kesalahan berzina dan merogol adalah seperti penjara dan hukuman sebat. Hal ini dapat mengurangkan jenayah pembuangan bayi yang tidak berdosa itu di negara kita.

Seterusnya, pendidikan agama dan moral harus dititikberatkan oleh ibu bapa untuk menyedarkan anak-anak tentang dosa dan balasan yang akan diterima. Ibu bapa hendaklah menitikberatkan pendidikan agama dan moral kepada anak-anak dan proses ini hendaklah diteruskan walaupun seseorang itu telah meningkat umur dewasa. Pendidikan agama dan moral amatlah penting dan perlulah disemaikan dalam sanubari rakyat. Albert Einstein pernah berkata bahawa agama tanpa ilmu adalah buta dan ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Hal ini menunjukkan peri pentingnya didikan agama dan moral dalam kehidupan kita supaya kehidupan tidak menjadi terumbang-ambing seperti kapal tanpa nakhoda. Sebagai contohnya, anak-anak perlu diberi didikan agama sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya dengan menyuruh anak-anak tidak mengabaikan solat kerana bersolat itu dapat mencegah daripada melakukan kemungkaran. Cara ini adalah efektif untuk mewujudkan masyarakat yang bebas daripada kes pembuangan bayi.


Kesimpulannya, masalah pembuangan bayi ini yang disebabkan oleh banyak faktor mempunyai pendekatan yang tersendiri untuk diatasi jika dikaji secara telus. Pelbagai pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk menyelesaikan dan mengurangkan kes pembuangan bayi yang berlaku di negara kita. Masalah tersebut akan menular dan menjadi duri dalam daging jika tidak ditangani segera ketika negara sedang berusaha untuk mencapai wawasan 2020. Kerjasama daripada semua pihak adalah amat penting untuk membendung masalah ini kerana ke bukit sama-sama didaki, ke lurah sama-sama dituruni.Melalui usaha ini, hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan terbilang dari segi lahiriah dan rohaniah dapat direalisasikan.

AMALAN GAYA HIDUP SIHAT


Amalan gaya hidup sihat memang banyak kepentingannya kepada manusia. Dengan mengamalkan gaya hidup sihat, seseorang akan sentiasa sihat, cergas dan bertenaga. Oleh itu, setiap orang hendaklah melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh iaitu, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Tindakan ini ibarat menyediakan payung sebelum hujan, iaitu seseorang itu akan dapat mengekalkan kecergasan dan seterusnya badan akan menjadi sihat melalui aktiviti senaman. Amalan ini seterusnya akan melahirkan rakyat yang sihat dan produktif selaras dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan produktiviti negara.

     Satu amalan yang penting untuk diamalkan adalah dengan mengambil makanan yang seimbang. Oleh itu, tubuh orang yang mengamalkan pemakanan seimbang ini akan mendapat khasiat dan vitamin yang diperlukan. Sebagai contohnya, seseorang itu perlu banyak mengambil makanan yang berserat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan makanan yang berlemak atau mengandungi kolesterol yang tinggi. Dengan cara itu, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi dan diabetis akan dapat dielakkan kerana mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatinya.

     Amalan lain yang perlu diamalkan adalah dengan bersukan atau beriadah. Aktiviti sukan dan riadah yang dilakukan akan menyihatkan seseorang kerana aktiviti itu akan melancarkan perjalanan darah dan badan akan mengeluarkan peluh. Seseorang itu boleh bersukan seperti bermain badminton, bola sepak, menunggang basikal, berjoging, atau berenang. Jika badan seseorang itu sihat dan cergas, sudah pastilah daya pemikirannya juga cerdas kerana otak yang cerdas datangnya daripada tubuh yang cergas.

     Selain itu, setiap orang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Hal ini akan memastikan anggota dalaman tubuh seseorang itu seperti, jantung, hati, buah pinggang, dan pankreas berfungsi dengan baik. Melalui cara itu juga, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, diabetis, dan tekanan darah tinggi dapat dapat dikesan lebih awal melalui peralatan moden dalam bidang perubatan. Dengan cara itu, langkah pemulihan akan dapat dilakukan dengan segera. Hal ini demikian kerana, alat-alat perubatan moden dapat mengesan sesuatu penyakit lebih awal dan tidaklah sudah terhantuk baru nak tengadah.

     Secara keseluruhannya, amalan gaya hidup sihat memang perlu dijadikan budaya untuk melahirkan rakyat yang sihat. Jadi, Kementerian Kesihatan perlulah mengambil langkah yang proaktif untuk merealisasikan impian negara kita itu. Sekiranya langkah tersebut tidak diambil, sudah tentu hasrat untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas tidak akan menjadi kenyataan. Oleh itu, hasrat untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas akan menjadi realiti jika semua pihak saling bekerjasama iaitu, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.


FAEDAH AMALAN BERJIMAT CERMAT

Sempena Hari Pengguna 2014, Perdana Menteri kita telah menyeru rakyat agar berjimat cermat dalam segala aspek kehidupan demi menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup. Beliau juga menasihati rakyat agar ingat sebelum kena, jimat sebelum habis agar tidak menyesal kemudian hari. Rakyat juga digesa agar tidak menjadi hamba kepada hawa nafsu ketika membeli-belah kerana ikut hati mati, ikut rasa binasa. Pada hemat saya, pandangan Perdana Menteri ini sewajarnya direnungi kerana banyak faedahnya jika amalan berjimat cermat dijadikan agenda utama dalam kamus hidup kita.

Melalui amalan berjimat cermat, perbelanjaan harian dapat dikurangkan. Hal ini demikian kerana kita membandingkan harga barang-barang yang hendak kita beli dan membeli barangan buatan tempatan yang lebih murah harganya. Barang yang berkualiti dan mahal juga eloklah dibeli kerana alah membeli, menang memakai. Kasut sekolah Bata, misalnya, bukan sahaja tahan lama bahkan berbaloi. Pemakaian kasut ini memberikan keselesaan dan kepuasan. Dengan cara ini, bukan sahaja perbelanjaan harian dapat dijimatkan bahkan kebahagiaan terjamin.

Amalan berjimat cermat juga dapat menambah simpanan kita. Apabila kita menjimatkan perbelanjaan, wang yang dihematkan dan ditabungkan di institusi kewangan akan meningkat, bak kata pepatah sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Wang simpanan ini amat berguna ketika menghadapi waktu kecemasan seperti hendak menjalani pembedahan.  Menurut Datuk Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah, kita tidak perlu “mengemis” dan menjadi mangsa ceti haram kerana lintah darat ini memang menangguk di air keruh dan menjadi duri dalam daging dalam kehidupan kita. Tegasnya, bukan sekadar wang tabung kita bertambah malah kesenangan hidup terpelihara.

Seterusnya, amalan berhemat dalam pengurusan kewangan akan mendidik seseorang individu untuk berdikari.  Kita tidak perlu bersandar pada ibu bapa ataupun pada kerajaan untuk mendapatkan bantuan kewangan ataupun biasiswa demi mengongkosi pengajian kita di menara gading nanti.  Dewasa ini, banyak pelajar cemerlang yang menggantungkan harapan pada biasiswa tajaan JPA dan pada pinjaman PTPTN.  Apabila gagal beroleh bantuan kewangan, mereka berasa  seolah-olah langit runtuh, bumi cair ataupun kaca terhempas ke batu. Jadi, kita patut berjimat cermat untuk berdikari agar hidup kita lebih damai dan sejahtera.


Intihanya, cermat masa banyak, jimat masa sedikit. Kita hendaklah menghayati pesanan agama kita, yakni ingat akan kesakitan ketika sihat; ingat akan ketuaan usia ketika muda; ingat akan kematian ketika hidup; dan ingat akan kepapaan ketika kaya seandainya kita hendak bahagia sepanjang hayat. Sehubungan ini, ibu bapa berperanan sebagai cermin perbandingan yang positif kepada si anak, dan bukannya seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Dengan terpupuknya nilai positif ini dalam lubuk kalbu generasi muda, mereka akan senantiasa mampu memberi dan tidak akan meminta.

KARANGAN B : CARA MEMANFAATKAN CUTI SEKOLAH

Cuti sekolah merupakan momen yang paling ditunggu-tunggu oleh semua orang terutamanya para pelajar. Semua golongan masyarakat tidak kira mud...