Wednesday, 28 October 2020
Sunday, 11 October 2020
USAHA-USAHA MENGGALAKKAN AMALAN KITAR SEMULA
Dalam
keghairahan menghambat kemewahan dunia, masyarakat sering alpa dengan isu
pembuangan sampah. Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 16 Januari 2018 telah
melaporkan bahawa setiap rakyat Malaysia secara purata telah membuang 0.8
kilogram sampah setiap hari. Jumlah ini cukup untuk memenuhi Menara Berkembar
Kuala Lumpur (KLCC) dalam tempoh sembilan hari setengah sahaja. Salah satu cara
untuk mengatasi masalah ini ialah menerusi aktiviti kitar semula. Di Malaysia, program kitar semula telah bermula
dengan Kempen Kitar Semula 1993. Walau bagaimanapun menurut Persatuan
Pengguna Pulau Pinang, kempen ini hanya mendapat sokongan lima
peratus penduduk Malaysia. Satu anjakan paradigma perlu dilakukan
demi menjayakan hasrat murni kerajaan. Rakyat perlu disedarkan bahawa
pelbagai maslahat akan diperoleh daripada kempen kitar semula ini. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang boleh
dilakukan untuk menggalakkan amalan kitar semula?
Antara prakarsa bagi menggalakkan
program kitar semula ialah menerusi didikan ibu
bapa. Menurut hadis Nabi Muhammad SAW,
anak-anak ibarat kain putih yang akan dicorakkan oleh ibu bapanya. Dalam hal
ini, ibu bapa wajar memberi didikan
tentang kemaslahatan amalan
kitar semula sejak anak-anak masih
kecil. Sebagai contoh, anak watan
hendaklah dilatih tentang mekanisme
yang betul untuk melupuskan sampah sarap. Ibu bapa juga harus menjadi suri teladan dengan tidak membuang
sampah merata-rata dan mengumpul barang-barang yang boleh dikitar semula
mengikut kategori. Gerak geri ibu bapa ini pasti akan diwarisi oleh anak-anak
kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.
Jelaslah bahawa, ibu bapa merupakan model anak-anak yang berusia setahun jagung dalam
mempraktikkan amalan kitar semula.
Manhaj seterusnya ialah
kerajaan perlu menggubal polisi tentang pembuangan sampah sarap dan kitar
semula. Sebagai contoh, kerajaan boleh menetapkan peraturan pembuangan sampah
mengikut kategori. Sehubungan dengan itu, pihak berkuasa tempatan pula wajar
memperbanyak tong-tong kitar semula dan pusat kitar semula. Hal ini akan
memudahkan orang ramai untuk menguruskan sampah mereka. Selain itu, pihak
kerajaan juga boleh mengadakan kempen untuk meningkatkan kesedaran rakyat
tentang amalan kitar kitar semula. Kempen ini seharusnya disokong oleh media
massa bagi memastikan mesej kitar semula ini tersebar luas.Tegasnya, kerjasama
kerajaan dan pelbagai pihak amat perlu dalam menjayakan sesuatu misi kerana muafakat membawa berkat.
Akhir kalam,
semua pihak haruslah seia sekata untuk istiqamah dalam mengamalkan kitar semula demi kepentingan alam sekitar.
Masyarakat tidak boleh memandang enteng perkara ini supaya alam ini selamat
untuk didiami oleh generasi sekarang dan akan datang. Mantan Perdana Menteri
Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohammad pernah menyatakan bahawa rakyat yang sihat
bergantung kepada persekitaran alam yang bersih dan indah. Masyarakat harus berusaha
mengamalkan kitar semula kerana alah bisa tegal
biasa. Oleh yang demikian, rakyat Malaysia diseru untuk
terus mengamalkan amalan kitar semula dan berupaya meluaskan horizon pemikiran
masyarakat untuk melahirkan generasi yang cinta akan alam sekitar.
(544 patah perkataan)
Monday, 5 October 2020
seyogia atau seyogianya
[se.yo.gia] | سيوݢيا Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, seyogia bermaksud sepatutnya, selayaknya, semestinya: Seyogia ialah kata terbitan dar...
-
TARIKH : 29 OKTOBER 2018 ALUAN BISMILLAH HIRRAHMANIRRAHIM.... ALHAMDULILLAHHIRABBILALAMIN... RABBISSRAHLISADRIWAY...
-
Dalam keghairahan menghambat kemewahan dunia, masyarakat sering alpa dengan isu pembuangan sampah. Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 16 ...
-
Salah satu ciri yang perlu ada dalam diri setiap individu ialah semangat patriotisme. Patriotisme yang juga disebut sebagai semangat patri...