Cuti sekolah merupakan momen yang paling ditunggu-tunggu oleh
semua orang terutamanya para pelajar. Semua golongan masyarakat tidak kira muda
mahupun tua sangat menantikan hari tersebut untuk setelah penat dengan rutin
harian mereka. Hal in kerana, musim cuti sekolah merupakan waktu untuk
masyarakat meluangkan masa sama ada dengan anak-anak mahupun keluarga. Oleh
itu, cuti yang panjang ini haruslah diisi dengan aktiviti yang berfaedah agar para
pelajar tidak leka dan terlibat dengan kegiatan jenayah. Persoalannya, apakah
cara yang boleh dilakukan oleh seseorang murid untuk memanfaatkan cuti sekolah
mereka?
Bagi mengupas persoalan di atas, antara aktiviti yang harus
dilakukan ketika cuti sekolah adalah menziarahi ahli keluarga. Setelah hampir
berbulan-bulan sibuk dengan tugasan masing-masing, cuti sekolah merupakan waktu
yang tepat untuk menjenguk ahli keluarga yang tinggal berjauhan. Sebagai
contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak pulang ke kampung untuk berjumpa
datuk, nenek dan saudara mara yang lain. Hal ini penting agar tali persaudaraan
menjadi erat. Jelaslah bahawa, menziarahi ahli keluarga merupakan perkara yang
bermanfaat untuk dilakukan semasa cuti persekolahan.
Seterusya, cuti sekolah juga dapat dimanfaatkan dengän pergi
melancong. Melancong bukan sahaja dapat menenangkan fikiran tetapi juga dapat
menambahkan ilmu pengetahuan. Misalnya, dengan melancong ke Bandar Hilir Melaka,
pelajar boleh mengetahui Sejarah silam Melaka yang pernah dijajah oleh
Portugis, Belanda dan British. Di samping itu, kita juga dapat menghilangkan
stres apabila melihat pulau-pulau yang indah dan pemandangan yang menarik
sewaktu melancong sama ada di dalam atau di luar negara. Sesuai dengan aforisme
jauh berjalan luas pemandangan, melancong dapat memberikan banyak
manfaat kepada para pelajar.
Selain itu, minhaj seterusnya yang dapat dilakukan untuk memanfaatkan
cuti persekolahan adalah dengan mengulang kaji pelajaran. Walaupun ramai
pelajar beranggapan cuti sekolah adalah masa untuk berehat tetapi sebenarnya
inilah waktu yang sesuai untuk pelajar memantapkan lagi ilmu pengetahuan.
Sebagai contoh, pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM boleh menggunakan
masa cuti ini dengan menghadiri kelas tambahan atau tuisyen untuk meningkatkan
lagi pemahaman tentang topik-topik pembelajaran. Jelaslah bahawa, memanfaatkan
cuti sekolah dengan mengulang kaji adalah hal yang paling signifikan boleh
dilakukan oleh sesorang pelajar.
Di samping itu, cuti sekolah depat dimanfaatkan dengan melakukan
kerja-kerja di rumah. Sebagai contoh, murid boleh membantu ibu bapa mereka dengan
melakukan kerja-kerja rumah seperti menyapu sampah, menjemur pakaian dan
melipatnya apabila kering. Hal ini ibarat sambil menyelam minum air
kerana murid bukan sahaja dapat memahirkan diri dengan kerja-kerja rumah malah
dapat meringankan beban ibu bapa. Malah, ibu bapa sudah tentu akan gembira
apabila ada anak-anak yang rajin membantu mereka. Benarlah, melakukan
kerja-kerja rumah merupakan uslub terbaik untuk menghabiskan masa cuti sekolah.
Bulan kian terang, bayang kian jelas bahawa banyak cara boleh
dilakukan oleh seseorang murid agar masa terluang tidak dihabisi dengan perkara
yang tidat bermanfaat. Guru-guru seharusnya memberi bimbingan kepada
murid-murid supaya bijak merancang aktiviti masa cuti mereka kerana masa itu
emas. Ibu bapa pula haruslah memastikan anak-anak tidak terlalu bersuka ria
semasa cuti sehingga mengabaikan pelajaran mereka. Sebagai konklusinya,
pendayung sudah di tangan, perahu sudah di air, murid-murid sendirilah yang
menentukan pendekatan terbaik untuk mengisi masa cuti sekolah agar mereka menjadi
lebih berdisiplin dan bertanggungjawab.
(497 patah perkataan)